‘Bila sebar kebencian, awak bekerja dengan syaitan’

PELAKON Sharifah Sakinah mengakui dia antara pengikut tegar jurulatih kecergasan, Tareq Fit dalam Instagram kerana mengagumi kandunganya tentang ilmu nutrisi.

Namun, Sakinah atau nama penuhnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 36, kecewa apabila individu itu sering menyerang penggiat seni kerana tindakan tersebut tidak menggambaran gaya hidup sihat yang diamalkan.

“Ya, saya mengikuti Tareq Fit dalam Instagram sebab apa yang dia amalkan sama macam kepercayaan saya. Tareq sangat bagus dalam nutrisi, saya suka tengok kandungan dia yang sangat memberi inspirasi tentang pemakanan.

Kesihatan sebenarnya dari otak tapi bila awak menyerang maknanya ada masalah. Kalau awak betul-betul sihat, awak tak akan keluarkan kebencian dari mulut awak.

“Apa benda dia cakap menunjukkan apa yang dia makan. Saya kecewa dia muat naik gambar industri seni dan menyerang beberapa artis,” katanya kepada HibGlam pada malam gala Tarung Unforgiven, baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelakon telefilem Girlfriend Aku Dari Neraka itu memaklumkan kecergasan sebenar bukan hanya terletak pada fizikal, tetapi juga melibatkan kesihatan minda dan emosi yang stabil.

Dia juga menyarankan agar Tareq memberi tumpuan kepada penyembuhan dalaman agar tidak menyebarkan kebencian.

“Sebenarnya kecergasan juga seni. Cara pernafasan ketika bersenam, cara bercakap untuk mengajar semuanya adalah seni.

“Malah hubungan antara minda dan otot ketika bersenam juga satu bentuk seni.

Jadi Tareq, awak kena sembuhkan emosi dan minda. Bila awak cakap berkenaan kebencian awak bekerja dengan syaitan,” ujarnya.

Disoal sekiranya kenyataannya dibidas, Sakinah enggan peduli selain mengharapkan Tareq dapat menyampaikan mesej secara positif.

“Saya tak akan respons kepada kandungan negatif dia tapi saya suka kandungan berkaitan pemakanan dan kecergasan.

Saya tahu dia nak cipta kesedaran, cuma harap selepas ini dia dapat sampaikan dengan lebih kasih sayang.

“Kita jangan serang dia, sebaliknya doakan yang baik-baik,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Tareq mencetuskan perhatian apabila sering menegur golongan selebriti dengan menggunakan bahasa yang kurang menyenangkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok