Adira, saya mohon maaf atas keterlanjuran – Datuk Red

USAHAWAN Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap bekas isterinya yang juga penyanyi Adira Suhaimi atas keterlanjuran kata-kata dalam media sosial sebelum ini.

Menurutnya, permohonan maaf tersebut ikhlas dibuat selepas menyedari kesilapan dilakukan terhadap bekas isterinya itu.

“Saya Adnan Abu. Video ini ditujukan khas kepada bekas isteri saya, Siti Adira Suhaimi dan pihak peguam dia.

Permohonan maaf ikhlas daripada saya atas keterlanjuran dalam media sosial secara langsung atau pun tidak. Saya mohon maaf secara ikhlas,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Tambah Red, dia berharap permohonan maaf tersebut akan dapat menghentikan segala kemelut yang berlaku antara mereka berdua.

Dia turut menyuarakan hasrat untuk melakukan perbincangan bersama Adira mengenai urusan berkaitan anak-anak.

“Harap dengan permohonan maaf ini, perbalahan kita ditamatkan.

Kita boleh berunding cara macam mana membesar dan menjaga anak dengan haluan masing-masing,” ujarnya.

Sebelum ini, Adira meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.

Adira mendedahkan usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.

Datuk Red bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran itu.

Dia turut hadir ke program Talk To My Manager 2 dua minggu lalu untuk memberi sokongan terhadap anaknya, Anggrek selain ingin memohon maaf kepada Adira atas kekhilafan yang berlaku di mahkamah semasa prosiding pengesahan rujuk mereka baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok