TERINGAT penulis ketika filem Pangku dijulang sebagai Filem Cerita Panjang Terbaik di Festival Filem Indonesia (FFI) 2025 pada November tahun lalu yang ketika itu tertanya-tanya mengenai kehebatan naskhah tersebut.
Rupa-rupanya kemenangan tersebut sangat berbaloi dengan sebuah naskhah hebat dihidangkan Reza Rahadian selaku sutradara.
Sepanjang tempoh satu jam 40 minit, mata meliar, hati bermonolog dan otak berjalan ‘menangkap’ semua mesej yang mahu disampai Reza.
Kopi pangku, itu subjek utama yang dihuraikan Reza dalam filem ini. Menghirup kopi sambil memangku perempuan atas paha yang hadir dengan pakej urutan ringan pada bahu di warung jalanan dan sering dikaitkan di Pantura, Indramanyu, Jawa Barat.
Selalunya warung kopi sebegitu menjadi lokasi persinggahan dan hiburan sejenak bagi para pemandu lori jarak jauh.
Baru ditayangkan dalam Netflix Malaysia, Pangku disifatkan sebuah karya ‘sepi’ tetapi berkali-kali berjaya menjentik emosi penonton.
Pangku mengisahkan tentang Sartika lakonan Claresta Taufan iaitu seorang ibu tunggal, berdepan realiti hidup dalam dunia serba keras di kawasan Pantura sehingga mendorongnya bekerja sebagai gadis pangku di warung kopi milik Bu Maya (Christine Hakim) demi kelangsungan hidup bersama anaknya.

SARTIKA bersama anaknya Bayu menjadi subjek golongan tersisih yang ‘berkeras’ mahu hidup biarpun kehidupan adakala tidak berpihak kepada mereka.
Keserasian yang tercipta antara Sartika dan Bu Maya dipaparkan sempurna, tanpa menekan-nekan emosi penonton. Sartika yang mencari perlindungan dan Bu Maya membuka ruang ruang hidup baharu kepada wanita tersebut.
Di sebalik kerancakan melayan lelaki menikmati kopi, Sartika tetap dilema antara maruah, tanggungjawab dan harapan untuk masa depan lebih baik.
Kemunculan watak Hadi (Fedi Nuril) yang pada awalnya sebagai pelanggan di warung kopi tersebut ibarat sinar kecil yang memberi harapan dan melenyapkan kegelapan hidup Sartika.
Namun, benarlah apa yang penonton sering fikirkan, Fedi pasti akan menjadi lelaki paling jahanam.
Kali ini, masih ada konsep poligami, namun pengakhiran yang tidak indah buat Sartika, ditinggalkan lelaki yang sepatutnya menjadi pemimpin hidupnya, namun pada akhirnya gagal.
Jika ditonton dari awal hingga penghujung cerita, karya berkenaan tidak mempunyai banyak dialog, visual yang realistik sudah cukup memberi hasil luar biasa.
Latar tempat seperti dapur warung usang, rumah tepi laut serba daif, pesisir Pantura sangat membantu kerana menunjukkan dunia realiti sekali gus membangunkan emosi penceritaan tanpa bergantung kepada dialog.

DALAM Pangku Fedi Nuril mewakili golongan lelaki yang mencari persinggahan untuk memenuhi tuntutan naluri, namun tidak bersifat untuk menetap lama.
Berderai air mata penulis pada pengakhiran cerita tatkala Sartika membaca ‘surat cinta’ yang ditulis Bayu buat dirinya.
Mungkin individu yang dibesarkan seorang ibu tunggal pasti menikmati kesedihan tersebut dengan lebih dalam.
Mana-mana jiwa yang pernah dibesarkan seorang ibu tunggal, pasti akan memahami kesakitan dan pergelutan hidup dilalui.
Dengan alur penceritaan yang tenang dan tidak tergesa-gesa, Pangku memilih untuk menyampaikan kisahnya secara sederhana tetapi impaknya mendalam.
Pangku juga menyorot bagaimana tekanan ekonomi memaksa seseorang membuat pilihan sukar, namun bertentangan dengan naluri sendiri.
Jika di Indonesia, kopi pangku sering menimbulkan perdebatan khalayak, dikutuk sebagai simbol keruntuhan moral, namun realitinya itu satu pekerjaan mencari sesuap nasi.
Keseluruhannya, Pangku merupakan sebuah naskhah ‘slow burn’ yang sarat teks, stigma dan eksploitasi untuk bertahan hidup.
Tidak memerlukan tepukan gemuruh sebaliknya meninggalkan kesan yang perlahan tetapi mendalam tentang luka, pengorbanan dan ketabahan seorang ibu yang sering kali tidak dilihat. – HIBGLAM
