‘Maria susuk yang jaga penampilan, pertuturan sangat tersusun’

PEMERGIAN seniwati legenda Allahyarham Datuk Seri Maria Menado disifatkan sebagai satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Allahyarham merupakan antara legenda perfileman yang tersohor dalam negara yang pernah memenangi beberapa trofi pelakon terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) sebelum ini.

“Hari ini kita kehilangan seorang lagi seniwati negara, Allahyarham Maria Menado. Beliau seorang tokoh pelakon seniwati yang tidak asing dalam industri seni tanah air.

“Beliau juga pernah memenangi FFM sebanyak dua kali pada tahun 1952 dan 1957.

“Saya rasa dia punya lakonan itu memang memberi banyak kesan dan menjadi rujukan kepada pelakon-pelakon sekarang ni.

“Jadi, industri kehilangan seorang lagi artis ataupun biduanita yang kita sanjungi serta hormati,” katanya kepada Kosmo! Online selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini hari ini.

Penampilan

Sementara, pelakon senior, Datuk Raja Rezza Shah Raja Aman Shah yang merupakan kenalan lama Allahyarham pula memberitahu, Maria sangat menitikberatkan soal penampilan dalam kalangan selebriti.

“Dia ada beritahu saya tentang beberapa penampilan artis dan dia minta saya tegur mengenai hal tersebut.

“Maria yang saya kenali memang jenis menjaga penampilan, percakapan pun tersusun,” ujarnya.

Dia pun berkata, Allahyaham juga pandai memasak dan mengakui merindui masakannya.

“Maria memang pandai masak. Saya masih ingat, kalau pergi rumah arwah, dia masakkan sambal tumis,” ujarnya yang pernah menunaikan umrah bersama Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan sekitar pukul 6.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Bukit Damansara di sini hari ini.

Pengebumian Allahyaham Maria, 94, berlangsung dalam suasana penuh hiba dengan keharian lebih 100 orang ahli keluarga dan rakan terdekat.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dikafan dan disolatkan di Masjid Umar Al-Khattab Bukit Damansara.

Terdahulu, Allahyarham Datuk Seri Maria Menado dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.25 tengah hari, di sebuah perubatan swasta di sini.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 94 tahun akibat sakit tua dan dipercayai dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 14 April lalu.

Beliau juga meninggalkan dua orang anak perempuan, tiga orang anak lelaki, 15 orang cucu 15 dan tujuh orang cicit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok