Jiwa-jiwa ‘Kartini’ selebriti wanita hebat Indonesia

BAGI yang tidak mengetahui, masyarakat di Indonesia menyambut Hari Kartini setiap tahun bagi mengenang jasa dan perjuangan tokoh pahlawan, Raden Ajeng Kartini dalam memperjuangkan hak-hak golongan wanita.

Tanggal 21 April dipilih bagi mengingati Kartini yang banyak berjasa memperjuangkan hak wanita untuk mendapatkan pendidikan, pembebasan, serta hak kesamarataan dengan lelaki.

Kini, sambutan tersebut bukan sekadar tentang pemakaian kebaya, malah menjadi momen refleksi tentang peranan wanita dalam pelbagai bidang.

Berikut adalah cara lima artis popular Indonesia memaknai Hari Kartini dengan cara tersendiri.

Dian Sastrowardoyo

SEMPENA sambutan Hari Kartini, pelakon Dian Sastrowardoyo menterjemahkan semangat perjuangan tersebut melalui sektor pendidikan.

Dian atau Dian Paramita Sastrowardoyo menawarkan biasiswa pendidikan khusus buat wanita muda yang meminati industri perfileman melalui Yayasan Dian Sastrowardoyo dengan kerjasama Jogja Film Academy.

Dia yang pernah membintangi filem Kartini itu percaya ilmu adalah ruang untuk wanita terus berkembang dan menyuarakan pendapat mereka.

Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu berharap inisiatif tersebut dapat menyuntik semangat kepada kaum wanita untuk mengejar impian mereka tanpa ragu-ragu.

Apa yang menarik perhatian, program biasiswa terbabit tidak menetapkan sebarang had usia bagi pendaftar.

Syarat utamanya hanyalah mempunyai minat yang mendalam serta tekad yang kuat untuk menjadi sebahagian daripada produksi filem.

Maudy Ayunda

PELAKON Maudy Ayunda memilih untuk membangkitkan isu kesetaraan jantina yang melangkaui sekadar sambutan bermusim.

Pemilik nama lengkap Ayunda Faza Maudya, 32, menegaskan bahawa perubahan tersebut memerlukan sokongan lelaki untuk mewujudkan persekitaran yang adil yang bermula dengan menghormati wanita sebagai manusia bukan objek jenaka.

Dia juga mengajak wanita untuk terus menyuburkan sifat ingin tahu sebagai senjata utama dalam memperkasakan diri dan mencapai cita-cita.

Bagi pelantun lagu Perahu Kertas itu, semangat yang dimiliki Kartini berakar umbi daripada sifat gemar belajar yang perlu dicontohi generasi wanita masa kini.

Maudy menyifatkan Kartini sebagai individu yang sangat dahaga akan ilmu, yang mana sifat tersebut akhirnya membawa kepada penemuan potensi diri yang luar biasa menerusi pembacaan dan penulisan.

Andien

MENYAMBUT Hari Kartini dengan hantaran yang lebih reflektif, itu yang dilakukan penyanyi Andien.

Andien atau nama penuhnya Andini Aisyah Hariadi mengajak orang ramai untuk mengambil iktibar daripada kesetiaan Kartini yang tetap teguh berfikir dan menulis meskipun pada waktu itu, beliau berada dalam pingitan (pengasingan perempuan dari kehidupan sosial) serta mempunyai pergerakan yang terbatas.

Pelantun lagu Anaku Sayang itu turut menekankan bahawa semangat Kartini yang sebenar adalah tentang keberanian untuk melihat ke dalam diri dan mempunyai kekuatan untuk menjadi diri sendiri tanpa dipengaruhi tekanan luar.

Dia percaya bahawa dengan memiliki prinsip tersebut, suara dan karya seseorang wanita akan tetap abadi serta mampu menjadi inspirasi kepada orang lain walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan.

Cinta Laura

BERBEZA pula dengan pelakon Cinta Laura yang melontarkan pandangan kritis mengenai erti emansipasi wanita masa kini dengan menyoroti isu gangguan seksual yang masih berlaku di institusi pengajian tinggi terkemuka.

Bagi pelakon berusia 33 tahun itu, kecerdasan intelektual yang dibanggakan sesebuah institusi tidak akan membawa makna sekiranya tidak disertai dengan nilai moral dan rasa empati terhadap golongan wanita.

Menurutnya, emansipasi wanita hari ini bukan hanya tentang akses kepada pendidikan tinggi tetapi perjuangan untuk mendapatkan rasa selamat dalam sistem tersebut.

Pelakon drama popular Upik Abu dan Laura itu turut mengingatkan bahawa tujuan utama akses pendidikan yang diperjuangkan Kartini dahulu adalah untuk memperkasakan wanita, bukannya membiarkan mereka menjadi mangsa kepada persekitaran yang tidak selamat.

Mikha Tambayong

PELAKON Mikha Tambayong menitipkan pesanan mengenai kepentingan kebebasan bersuara dan berekspresi dalam meniti kehidupan moden hari ini.

Pemilik nama penuh Maudy Mikha Maria Tambayong itu menekankan bahawa wanita masa kini mempunyai hak mutlak untuk menggalas pelbagai peranan serentak, merangkumi kerjaya profesional sehinggalah kepada hobi yang diminati tanpa perlu berasa dikongkong.

Menurut pelakon berusia 32 tahun itu, kaum hawa harus memiliki keberanian untuk menyuarakan pendapat mereka dengan lantang dan tidak membiarkan diri mereka dibatasi stigma lama yang sering kali menyekat potensi golongan itu.

Dia turut mengingatkan bahawa setiap kejayaan yang diraih seorang wanita, tetap akan memberikan impak positif kepada persekitaran mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok