Insya-Allah, saya pun akan ke arah itu suatu hari – Zahirah MacWilson

BERSYUKUR dan gembira, itu gambaran perasaan pelakon Zahirah MacWilson apabila ibunya, Maslinda Yusoff kini sudah berhijab sepenuhnya.

Lebih indah, Zahirah atau nama lengkapnya Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 31, memaklumkan bahawa ibunya bakal berangkat menunaikan ibadah Haji buat pertama kali pada bulan Mei depan.

“Ya, saya tumpang gembira buat dia. Sebenarnya, hasrat untuk bertudung ini sudah dikongsikannya sejak beberapa bulan lalu dan dia bakal menunaikan fardhu haji buat kali pertama tahun ini.

“Apabila dia sudah bersedia sekarang, alhamdulillah saya tumpang gembira untuk dia.

“Jadi, doakan ya, insya-Allah. Dia juga nampak sangat gembira,” katanya kepada HibGlam pada sidang media drama terbaharunya yang berjudul Good Boys Go To Heaven.

Pada masa sama, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza itu menyambut baik perubahan ibunya sekali gus meluahkan impiannya untuk mengikut jejak langkah yang sama suatu hari nanti.

Sudah tentu saya sambut baik (keputusan bertudung), benda yang baik kan. Insya-Allah, saya pun berharap untuk ke arah itu (bertudung) suatu hari nanti,” ujarnya.

Ditanya tentang kebimbangan melepaskan ibu ke Mekah, Zahirah tidak menafikan perkara tersebut tetapi menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT.

“Mesti ada (kebimbangan ibu ke haji) tapi saya fikir Allah lebih tahu yang terbaik.

“Dia (Allah) ada di sana untuk melindungi dan membimbingnya, walau apa pun berlaku. Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja,” tuturnya.

Sementara itu, Zahirah terlibat dalam drama terbaharu Astro berjudul Good Boys Go To Heaven yang bakal ditayangkan bermula 8 Mei depan.

Selain Zahirah, drama arahan Ariff Zulkarnain itu turut dibintangi Beto Kusyairy, Malek McCrone, Amerul Affendi, Firdaus Karim, Sky Iskandar dan Sayf Mikael. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok