Re:Start permulaan baharu Sakura Band, showcase 3 Mei

DALAM industri muzik, bukan semua mampu bangkit selepas lama menyepi, namun bagi Sakura Band diam bukan tanda kalah, sebaliknya ruang mengumpul tenaga sebelum kembali menyala.

Kini, mereka kembali dengan semangat baharu, bukan hanya mahu mengisi kekosongan tetapi membawa sebuah perjalanan emosi penuh makna.

Selepas bertahun menyepi dek pelbagai kekangan termasuk pandemik Covid-19, Sakura Band memilih untuk tidak sekadar muncul dengan single, sebaliknya menghadiahkan sesuatu lebih besar iaitu sebuah album lengkap berjudul Re:Start.

Menurut vokalisnya, Mell atau nama sebenarnya Melly Matius, judul tersebut melambangkan kebangkitan semula selepas berehat panjang.

“Konsep kali ini lebih kepada kemunculan semula selepas lama menyepi.

Dari segi muzik, lebih ke arah pop rock tetapi identiti Sakura Band tetap dikekalkan. Ini permulaan baharu buat kami,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas tempoh menghilang sebelum ini, Mell mengakui perjalanan Sakura Band tidak semudah disangka. Selepas kejayaan lagu Polaroid dan single terakhir Yakiniku, pelbagai percubaan dilakukan, namun rezeki belum menyebelahi mereka.

“Kami ada keluarkan beberapa single sebelum ini, tetapi mungkin belum ada rezeki. Ketika pandemik, kami ambil keputusan untuk berundur seketika, berehat dan susun semula perancangan.

Kami juga banyak terima tawaran untuk keluarkan single, tetapi sebagai anak seni, kami mahukan sesuatu lebih bermakna iaitu sebuah album,” ujarnya.

Sementara itu, pemain dram, Haikal menyifatkan Re:Start lambang kematangan dan keberanian mencuba sesuatu lebih segar.

MENERUSI Re:Start, Sakura Band mempertaruhkan lapan lagu untuk memikat kembali hati pengikut mereka dan peminat baharu.

Malah katanya, keseluruhan album tersebut dihasilkan sendiri ahli kumpulan.

“Kami sudah bersedia, malah perancangan untuk album seterusnya juga sudah ada.

Kami tidak tahu bagaimana respons pendengar hari ini, tetapi kami akan terus mencuba. Kebanyakan lagu berdasarkan pengalaman sendiri.

“Misalnya lagu Tikam Belakang atau Sahabat Sejati, semuanya mencerminkan perjalanan hidup kami. Sebab itu apabila menyanyi, kami benar-benar merasainya,” kongsinya.

Album Re:Start memuatkan lapan lagu iaitu Re:Start, 1,2,3 Go!, Impian, Sahabat Sejati, Manusia Biasa, Tikam Belakang, Masih dan Bulan & Bintang.

Lagu Masih dipilih sebagai single utama kerana membawa elemen pop, sekali gus menjadi ‘jambatan’ kepada peminat lama untuk kembali menerima identiti mereka.

Dalam usaha memperkukuh produksi, Sakura Band turut bekerjasama dengan Adi 6ixth Sense serta Laq sekali gus membantu memperhalusi hala tuju muzik mereka.

Bukan itu sahaja, bagi mendekati peminat, Sakura Band bakal menganjurkan mini showcase pada 3 Mei ini di Cheras dengan kapasiti sekitar 300 penonton.

Kami mahu lihat reaksi peminat secara langsung. Showcase ini peluang untuk kami rasa sendiri sama ada mereka menikmati lagu baharu atau tidak.

“Kalau sambutan baik, kami bercadang untuk buat showcase lebih besar dan mungkin jelajah,” jelasnya.

Dilancarkan di semua platform penstriman digital sejak 17 April 2026, Re:Start menjadi bukti bahawa seni tidak pernah mati, hanya menunggu waktu untuk kembali bersinar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok