PELAKON Nadzmi Adhwa tampil menepis kecaman netizen terhadap isterinya, Ardell Aryana yang kembali menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 baru-baru ini.
Menurut Nadzmi, 33, dia mengizinkan Ardell yang juga pelakon berlayar ke bumi Gaza, Palestin selain menjelaskan tahap kesihatan ibu Ardell semakin stabil.
Ibu Ardell sudah sembuh, alhamdulillah. Ada lagi lima adik-beradik tengokkan mak dia juga. Lima adik-beradik tengokkan mak Ardell, kenapa ya?
“Untuk anak-anak, saya ada (menjaga), kenapa ya?” katanya membalas komen balas netizen dalam platform Threads.
Dalam masa sama, Nadzmi mengakui tidak menyangka penglibatan Ardell untuk GSF 2.0 kali ini meraih pelbagai reaksi negatif dalam media sosial.
“Minta doakan tapi dihina pula. Allah SWT sudah tulis perjalanan kita. ‘
Kalau Allah tak izin, tidak akan menjadi dan kalau Dia tak izin mesti tidak pergi.
“Siapakah kita menidakkan takdir yang Allah tetapkan. Wallahualam,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia meminta orang ramai tidak terus menjatuhkan hukum sebaliknya memberi sokongan kepada setiap rakyat Malaysia yang berusaha membebaskan bumi Palestin.
Kepada isteri dan sahabat sahabat saya dalam Sumud, maafkan lisan mereka, mereka tidak tahu, terus Sumud.
“Allah tahu niat kalian,” ujarnya lagi.
Sejak semalam, media sosial kecoh apabila ramai mula mempertikai penyertaan beberapa selebriti tanah air yang kembali berlayar ke Palestin.
Terdahulu, Nadzmi memuat naik hantaran mengiringi isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlepas ke Barcelona bagi meneruskan GSF 2.0.
Selain Ardell, personaliti lain yang turut serta adalah pasangan adikberadik Heliza dan Hazwani Helmi, Haroqs serta empat lagi yang dirahsiakan identitinya. – HIBGLAM
