PERSONALITI media sosial, AndrianMrPov dilambung pujian apabila dilihat menjaga batas ketika meluangkan masa bersama pempengaruh Mekyun sehingga dilabel sebagai ‘green flag’ oleh netizen.
Menerusi sebuah perkongsian video, Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 29, berkongsi momen santai mereka berkelah dan berbarbeku di kawasan air terjun dipercayai di Hutan Lipur Kanching.
“Beberapa hari ini saya agak tertekan, tiba-tiba dia buat kejutan bawa saya pergi ‘healing’. Terima kasih,” tulisnya dalam Threads.
Keindahan alam semula jadi bukan satu-satunya tarikan, sebaliknya sikap mereka turut mengundang pujian netizen yang menyifatkan pendekatan itu sebagai matang dan penuh hormat.
“Walaupun bukan Islam, mereka tetap jaga batas. Pegang ranting, bukan tangan. Nampak lebih sopan. Memang green flag.
“Ada pasangan bercinta belum kahwin pun bebas berpegang tangan, sepatutnya ambil contoh.
“Mereka baru kenal tapi masih tahu jaga diri. Itu lebih penting,” tulis beberapa netizen.
Namun, tidak kurang juga segelintir pihak melontarkan pandangan berbeza, menganggap situasi tersebut tidak perlu diperbesarkan.
Terdahulu, keakraban wanita Tionghua asal Kelantan itu bersama AndrianMrPov menjadi bualan hangat selepas tular video mereka keluar makan bersama sehingga ramai ‘merestui’ sekiranya hubungan itu berkembang ke fasa lebih serius. – HIBGLAM
