MENGHASILKAN sebuah naskhah yang mengangkat isu lumba haram dan mengupas kehidupan golongan ‘rempit’ sememangnya antara cara mudah untuk menarik penonton ke pawagam.
Malaikat Malam, sebuah lagi karya yang ‘memperjuangkan’ isu rempit di layar lebar dan merupakan hasil sentuhan sutradara baharu iaitu Nazifdin Nasrudin.
Menurut Nazifidin, dia berbangga dapat menghasilkan sebuah karya yang sudah lama diimpikannya iaitu mengenai kisah cinta dan aktiviti pemotoran pengguna jenis motor RXZ.
“Saya gembira sepanjang menghasilkan filem ini dan melihat hasil akhirnya, memang bangga dengan diri sendiri.
Sebenarnya idea nak buat filem ini sejak saya berada di zaman kolej tetapi ketika itu tiada struktur kukuh untuk hasilkan.
“Ketika itu, yang saya tahu, mahu buat cerita cinta dan ada RXZ kemudian mahu Syafiq Kyle berlakon jadi mat rempit. Sekarang, impian tersebut tercapai,” katanya.
Berkongsi mengenai jalan cerita tentang rempit yang umum tahu lebih berat ke arah negatif, dia memberitahu penonton seharusnya mengambil setiap titik pengajaran dalam Malaikat Malam.

MALAIKAT Malam membariskan pelakon terkenal tanah air yang mengangkat kisah hidup golongan mat rempit.
Ujarnya, sebagai pengarah, dia sudah berusaha sehabis baik memberi naskhah yang mampu memberi pengajaran dan tidak mampu menghalang sekiranya ada pihak yang mengambil contoh negatif.
“Mesej utama saya adalah bagaimana manusia perlu memilih jalan yang tepat dalam kehidupan. Jika salah, memang akan membinasakan diri.
Walaupun kita tahu kalau kita nak tunjuk benda baik, kita kena tunjuk benda buruk juga. Nak tunjuk cahaya, kena ada kegelapan tu juga.
“Saya sangat harapkan kalau nak jadi kacak macam Azam, saya galakkan cuma bahagian lumba, jadikan teladan.
“Kalau penonton generasi muda ambil benda yang buruk, saya minta maaf, tapi jika sebaliknya, terima kasih diucapkan,” ujarnya.
Ditanya sama ada bersedia sekiranya Malaikat Malam dibandingkan dengan beberapa filem lain yang terlebih dahulu mengangkat isu lumba haram, dia cuba mengubah stigma masyarakat menjadi lebih baik.
Antara filem yang mengangkat isu mat rempit sebelum ini seperti KL Menjerit, Remp-it dan Adnan Sempit.
“Saya tak kisah kalau orang nak bandingkan sebab saya pun memang membesar tengok KL Menjerit dan terinspirasi daripada filem tersebut.
Ketika itu, ramai cakap filem tentang motor adalah teruk dan hari ini saya saya sendiri buat cerita begitu.
“Tapi, saya cuba olah semula stigma masyarakat supaya hasilnya lebih positif, mudah-mudahan,” jelasnya.

SYAFIQ membawakan watak Azam yang terjebak aktiviti lumba haram.
Mengulas kritikan segelintir pihak yang kecewa susulan jalan cerita kurang menampilkan elemen perlumbaan motor, Nazifdin memohon maaf mengenainya.
“Babak perlumbaan lebih lima peratus iaitu sebanyak tiga kali dalam filem ini.
“Mungkin kurang sebab ada sedikit kekangan ketika proses pembikinan, jika penonton rasa tak seronok, saya minta maaf.
“Tapi memang arah cerita ini lebih kepada cerita cinta. Kalau asyik babak aksi saja tanpa kisah romantik, tidak seronok juga tetapi saya yakin semua ada selesa tersendiri,” katanya lagi.
Malaikat Malam merupakan produk terbaharu Viper Studios dengan kerjasama Skop Production, Astro Shaw dan Primeworks Studios yang mengisahkan mengenai Azam yang terjebak dengan lumba haram bagi merealisasikan beberapa impiannya.
Selain Syafiq, filem tersebut turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Tracie Sinidol, Kodi Rasheed, Que Haidar dan Amir Nafis. – HIBGLAM
