BUKAN biasa-biasa, anak kepada pelakon Sharnaaz Ahmad dan usahawan Noor Nabila, Jebat Jayden mencuri perhatian apabila mendedahkan jumlah kutipan duit rayanya tahun ini mencecah angka belasan ribu ringgit.
Menerusi perkongsian sebuah video, jumlah keseluruhan berjaya dikumpul kanak-kanak berusia lapan tahun itu adalah RM18,369, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Tidak hanya menerima wang tunai, Jebat turut memperoleh hadiah lebih eksklusif iaitu beberapa keping jongkong emas sebagai duit raya daripada ahli keluarga terdekat.
Antara diterima termasuk jongkong emas jenama Poh Kong edisi Bunga Raya seberat 10 gram dan 1 gram, selain PAMP Suisse (10 gram) serta Tomei (1 gram).
Difahamkan, pemberian tersebut datang daripada ahli keluarga termasuk ibu saudaranya selebriti terkenal, Neelofa, selain sanak-saudara serta kenalan rapat keluarga.
Perkongsian itu pantas menjadi bualan hangat apabila rata-rata netizen teruja melihat rezeki dimiliki Jebat pada usia muda.
“Ini bukan duit raya biasa, ini ‘level kayangan’. Untung Jebat!
Siap dapat jongkong emas, memang simpan sampai besar. Anak saya dapat 10 ringgit pun syukur dah.
“Rezeki anak, lain macam. Dari kecil dah ada simpanan masa depan,” tulis netizen.
Namun, ada juga segelintir pihak berpendapat situasi tersebut bukan sesuatu luar biasa memandangkan latar belakang keluarga berada, selain menganggap pemberian sedemikian sebagai kebiasaan dalam kalangan mereka. – HIBGLAM
