Rita turun padang sokong program CSR MRSM Sungai Besar

KEPRIHATINAN terhadap usaha murni anak-anak dalam menyantuni masyarakat mendorong pelakon popular, Rita Rudaini untuk turun padang secara sukarela membantu menjayakan program khidmat masyarakat Jalinan Kasih Ramadan BWP X SKP MRSM Sungai Besar yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka, semalam.

Program itu membabitkan pelajar Tingkatan 5 yang turut membabitkan anak sulung Rita iaitu Airit Rayyan dari Maktab Rendah Sains MARA Sungai Besar, yang turun ke kawasan sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bagi mengagihkan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur kepada golongan memerlukan.

Menurut Rita, kehadirannya dalam program berkenaan adalah sebagai tanda sokongan kepada usaha murni pelajar dan guru dalam mendidik generasi muda agar lebih peka terhadap masyarakat sekeliling.

“Walaupun terpaksa meredah hujan rahmat, saya tetap bersama anak-anak Ulul Albab ini mengagihkan makanan untuk berbuka dan bersahur di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan TAR. Kebetulan saya mempunyai masa terluang, jadi saya turun padang membantu setakat mana yang mampu bersama guru dan anak-anak yang kini berada di tahun akhir pengajian,” katanya.

Rita berkata, pengalaman bersama pelajar dalam program berkenaan memberi kenangan yang cukup bermakna buat dirinya, apatah lagi masa yang diluangkan terasa begitu pantas berlalu.

“Semoga menjadi kenangan indah buat saya kerana masa seakan mencemburui kami apabila terasa begitu cepat berlalu ketika melakukan aktiviti ini bersama mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Rita turut merakamkan penghargaan kepada guru yang menganjurkan program tersebut, iaitu Cikgu Dzulkifli Mahat yang menurutnya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai empati dan keberanian dalam kalangan pelajar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Dzul yang menganjurkan program CSR ini untuk mendidik anak-anak supaya lebih empati, berani, yakin diri serta mempunyai sifat berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.

Tambah Rita, aktiviti khidmat masyarakat seperti ini amat penting dalam membentuk jati diri generasi muda agar lebih menghargai kehidupan serta memahami nilai kemanusiaan.

“Melalui program CSR, anak-anak belajar nilai empati, menghargai kehidupan dan memahami bahawa setiap kebaikan kecil mampu memberi makna besar kepada orang lain,” katanya.

Rita juga menzahirkan harapan agar pelajar yang terlibat akan terus membesar sebagai generasi berilmu dan berakhlak tinggi serta menjadi pemimpin masa depan negara.

“Saya doakan semoga anak-anak ini membesar menjadi generasi yang berilmu, berakhlak dan menjadi pelapis negara suatu hari nanti. Hari ini mereka belajar, esok mereka memimpin,” katanya.

Rita turut menegaskan bahawa sebagai seorang wanita dan ibu, beliau percaya peranan mendidik generasi muda adalah tanggungjawab besar yang menyumbang kepada masa depan negara.

“Tugas saya sebagai seorang wanita untuk negara adalah mendidik, membina dan membesarkan generasi yang lebih baik daripada kita. Mungkin tugas ini kecil di mata manusia, tetapi besar untuk masa depan negara. Wanita yang membina anak-anak dengan nilai dan ilmu sebenarnya sedang membina masa depan sebuah negara,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok