MENGIKAT tali pertunangan dengan penyanyi Mahalini pada 7 Mei lalu selepas menyulam cinta selama setahun tiga bulan nyata cukup membahagiakan Rizky Febian.
Bahkan ketika bertandang ke Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mempromosikan Konsert Album: Berona Day Rizky Febian yang bakal berlangsung paga 3 November depan, penghibur dari Seberang itu terbuka berkongsi perihal hubungannya dan Mahalini yang akan menjadi suri hidupnya tidak lama lagi.
Ikatan yang terlestari sejak Mei lalu terbukti menyalakan api semangat kehidupan buat Rizky.
Paling marak pastinya kobar mempertahankan hubungan yang semakin kuat teruji menjelang hari bahagia tidak lama lagi.
Namun, pelantun lagu Hingga Tua Bersama itu menganggap segala-galanya sebagai asam garam menguji keutuhan janji antara mereka berdua.
Tanpa berselindung, dia mengakui semakin kerap didekati peminat wanita yang menggilai deretan lagu hitsnya. Bagi Rizky yang mesra disapa Iky, semua kegilaan hanya perlu ditangani dengan berhemah.
“Ya, kalau dugaan itu memang ada baik terhadap saya mahu pun Mahalini, saya tak kisah tetapi kami sudah berjanji untuk terus setia hingga ke akhir nanti.
“Sebagai insan, kita juga memahami rasa kecewa andai dikhianati. Saya sudah dikurniakan seorang wanita sempurna, apa lagi yang mahu saya dambakan.
“Cukup Mahalini seorang dalam hati saya. Kita boleh menolak kehadiran individu lain, jadi tetapkan saja hati,” katanya seraya memaklumkan tema serta konsep persembahannya kela diilhamkan daripada kisah percintannya dan Mahalini.
Ketika diminta berkongsi mengenai tarikh pernikahan yang kononnya ada diselitkan dalam Berona yang juga album baharunya, Rizky hanya tertawa kecil.
Akui selebriti berusia 25 tahun itu, perkara yang dikongsikan dengan media Indonesia sekadar gurauan supaya peminat mendengar deretan lagu terbaharunya.
“Saya tiada niat mempermainkan teman media, cuma ketika itu mereka meminta diberikan informasi yang belum dapat saya maklumkan lagi.
“Andai masanya sudah tiba nanti tentu saya umumkan kerana semua ini adalah dengan perbincangan bersama seluruh keluarga kedua-dua belah pihak,” tambahnya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.