5 filem ikonik wajib tonton musim raya

SETIAP kali menjelang Syawal, apa sahaja perihal yang terkait dengan perkataan ‘raya’ pasti menjadi tumpuan setiap orang terutama masyarakat Muslim di Malaysia.

Walaupun dunia mengejar arus kemodenan, elemen lazim seperti duit raya, baju raya, kuih raya, lagu raya dan iklan raya serta tidak terkecuali filem-filem ‘malar segar’ yang sinonim dengan slot tayangan Aidilfitri pasti tidak lekang di bibir ramai.

Tidak semua gemar berkunjung dari rumah ke rumah, ada yang lebih rela menghabiskan masa di depan TV menyambut salam tetamu, namun itu tidak sedikit pun mengikis semangat perayaan terbesar umat Islam seluruh dunia ini.

Bagi menyemarakkan sinar lebaran yang bakal tiba lebih kurang seminggu dari sekarang, HibGlam merangkumkan lima filem paling ‘vibey’ dan wajib tayang yang sesuai ditonton seisi keluarga.

Hantu Kak Limah (2018)

Antara karya paling ikonik sutradara legenda, Allahyarham Mamat Khalid, Hantu Kak Limah juga tidak terkecuali sering menghiasi kaca televisyen setiap kali menjelang Syawal.

Bukan sekadar filem komedi seram, karya ini mampu membuatkan ramai berkumpul dan bergelak tawa tak ingat dunia – apatah lagi, teringatkan karakter sangat meninggalkan dampak Husin (Awie) dan Kak Limah (Delimawati).

Polis Evo (2015)

Antara filem aksi tempatan paling mendapat sambutan di pawagam, Polis Evo terkandung emosi tersendiri yang boleh membuatkan ramai duduk bersama menghabiskan masa di depan televisyen.

Siapa mampu melupakan sinergi dua karakter iaitu Inspektor Khai (Shaheizy Sam), Inspektor narkotik terbaik di Kuala Lumpur telah ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes Syabu Naga yang melibatkan operasi pengedaran dadah di Terengganu bersama ‘sparring’ Inspektor Sani (Zizan Razak).

Pendekar Bujang Lapok (1959)

Filem hitam putih arahan dan lakonan legenda sepanjang zaman, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehingga kini masih menjadi pilihan ramai setiap kali Aidilfitri.

Filem komedi klasik arahan dan lakonan P. Ramlee ini mengisahkan tiga sahabat bujang iaitu Ramlee, Sudin dan Ajis yang hidup serba sederhana dan sering terlibat dalam pelbagai situasi lucu.

Mereka tinggal bersama-sama di sebuah kampung dan bekerja sebagai buruh.

Senario The Movie (1999)

Filem arahan Aziz M. Osman ini antara yang menduduki tangga paling atas wajib ditayangkan setiap kali menjelang Syawal.

Boleh dikatakan, setiap tahun filem komedi ini pasti menjadi pilihan stesen-stesen TV tempatan.

Naskhah ini dibintangi kumpulan Senario yang popular pada akhir tahun 1990-an dan awal tahun 2000.

Senario The Movie membangkitkan nostalgia zaman kemuncak kumpulan ini dan mengimbau kembali kemeriahan dunia komedi yang pernah berjaya memenangi hati ramai orang suatu masa dulu.

Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001)

Melengkapkan carta lima teratas filem wajib ditayangkan adalah karya Bollywood, Kabhi Khushi Kabhie Gham.

Filem drama kekeluargaan arahan Karan Johar ini berkisarkan tentang konflik keluarga yang sarat dengan kasih sayang, pengorbanan, dan perpisahan.

Kaya perjalanan emosi tentang kasih sayang keluarga, pengampunan, dan kepentingan hubungan kekeluargaan dengan latar kehidupan mewah, muzik yang popular dan kisah cinta yang menyentuh hati.

Kalau tak meleleh air mata menonton filem ini, memang tidak sah! – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok