PENYANYI Shiha Zikir mengakui terkesan apabila Ratu Pop Tradisional, Noraniza Idris menjadi mangsa kecaman netizen susulan luahan rasa suka terhadap lagu Minta Ampun.
Bagi Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd. Zikir, 39, tindakan Noraniza atau mesra disapa Kak Ani langsung tidak mencetuskan sebarang kesalahan yang wajar dihukum dengan kata-kata nista.
“Saya sedih apabila Noraniza Idris terima kecaman. Macam ini ke jadi peminat? Kenapa sanggup komen begitu?
Saya sangat neutral, saya rasa dia tidak buat salah. Dia tak komen terlalu kasar yang ditujukan atau libatkan orang lain.
“Bagi saya, dia (Noraniza) seorang legenda. Jujur saya sangat sedih dan bergenang air mata saya,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media pelancaran lagu rayanya berjudul Memori Raya, semalam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Irama itu terkejut dengan tindakan peminat yang bersikap terlalu obses sehingga hilang pertimbangan dan adab dalam berbicara.
Terkejut dengan segelintir peminat. Saya faham ada penyokong yang obses tapi kena ada batasnya.
“Sebelum buat apa-apa kena fikir dahulu,” ujarnya.
Sebagai selebriti, Shiha sentiasa mengambil pendekatan menasihati penyokongnya agar tidak terlibat dalam budaya mengecam penyanyi lain.
Saya memang selalu pesan kepada peminat untuk tidak komen toksik kepada penyanyi lain.
“Memang saya akan beritahu mereka, itu tidak baik,” jelasnya.
Sebelum ini, Kak Ani menyatakan lagu raya kegemarannya pada tahun ini adalah milik Shiha yang berjudul Minta Ampun kerana mempunyai kekuatan elemen kemelayuan serta alunan yang menyentuh perasaan.
Dia turut berpendapat lagu raya tidak perlu terlalu sarat dengan eksperimen muzik atau mengejar trend semasa. – HIBGLAM
