PELAKON Zara Zya menolak dakwaan aktres Janna Nick merupakan individu ‘J’ yang pernah memperlekehkannya di awal kemunculan dalam industri hiburan.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41, berkata, Janna bukan individu berkenaan selain menegaskan hubungan mereka tidak pernah bermasalah.
“Tidak, ‘J’ bukan Janna. Dia pun mula berlakon selepas saya dan lebih baharu dalam industri ketika itu.
“Janna seorang pelakon yang bagus, kami tiada masalah dan masih berkawan.
“Individu ‘J’ itu, biarlah yang tahu saja tahu,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada program rakaman Melodi Raya, baru-baru ini.
Dia juga berharap perkongsian pengalaman dipandang rendah pelakon senior menjadi iktibar ramai anak seni.
“Ketika kejadian itu berlaku, ada orang nak bergambar dengan dia. Saya pula berada tidak jauh dari situ, duduk di kerusi.
Selepas bergambar dengan peminat, dia datang dan ketawakan saya sebelum cakap saya tidak popular serta tiada siapa nak ambil foto bersama.
“Harap perkara tersebut tak berlaku kepada anak seni lain,” ujarnya.
Dia bagaimanapun tidak terasa hati diperlekehkan sebaliknya tekad membina nama menerusi bakat yang dimiliki.
“Ketika itu memang saya rasa pelik. Nak kata sedih pun tidak sebab saya bukan jenis orang yang ambil kisah.
Tapi dalam hati saya cakap, insya-Allah satu hari nanti orang akan kenal siapa saya. Alhamdulillah, sekarang orang kenal Zara Zya.
“‘J’ sudah tidak aktif dalam industri. Selepas penggambaran tersebut, kami tidak pernah jumpa lagi,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Zara dalam satu hantaran Threads mendedahkan pernah diperlekeh seorang artis wanita dikenali sebagai ‘J’ dengan dilabel tidak popular dan tiada peminat.
Perkongsian tersebut meledak sehingga terdapat segelintir membuat andaian dengan memetik nama Janna Nick sebagai individu ‘J’. – HIBGLAM
