Jangan buat orang menunggu, hargai masa – Azhan Rani

BUKAN mahu mencetuskan polemik, pelakon Azhan Rani menyentuh isu ketepatan masa selepas membaca artikel mengenai menteri di Jepun yang memohon maaf kepada seluruh negara disebabkan lewat lima minit ke mesyuarat.

Azhan, 50, berkata perkara tersebut sebenarnya peringatan untuk orang ramai termasuk dirinya sendiri agar lebih berdisiplin supaya tidak menyusahkan pihak lain.

Saya baca komen ramai menyalahkan menteri kita dan membuat perbandingan tetapi bagi saya tak perlu bandingkan dengan menteri, bandingkan dengan diri sendiri saja.

“Sebab kadang-kadang kita dengan kawan pun lambat dan ada juga kita menyebabkan orang lain terpaksa menunggu.

“Isu ini tidak hanya menjurus kepada pemerintah, sebaliknya jadi ingatan untuk kita sendiri agar lebih menghargai masa,” katanya ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs Ya, Abah Saya Sekuriti, baru-baru ini.

Katanya lagi, secara tidak langsung isu tersebut turut berkait rapat dengan tahap disiplin seseorang termasuk melibatkan pengurusan masa di set penggambaran.

Isu menunggu ini memang berkaitan dengan semua orang, tak kisahlah waktu penggambaran, mendaki atau aktiviti riding. Bila aktiviti melibatkan kumpulan, mesti ada yang akan lambat.

“Jika penggambaran, orang kata kalau 10 tahun ibarat lapan tahun menunggu dan hanya dua tahun saja berlakon,” ujarnya.

Menurut Azhan yang membawakan watak bapa usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dalam brandfilm tersebut, titipan teguran dalam laman sosial berkenaan masa bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Macam saya katakan, sebenarnya ini nasihat untuk diri saya sendiri supaya jangan sesekali buat orang menunggu lebih-lebih lagi apabila penggambaran yang melibatkan kos dan tenaga orang lain.

Tak kisah pelakon lama atau baharu, sebab kadangkala pelakon senior tak menjanjikan disiplin sepenuhnya dan hanya menunggang perkataan ‘senior’ sebagai ‘lesen’ besar untuk berbuat apa sahaja.

“Ada pula pelakon baharu mungkin inginkan keselesaan. Pokok pangkalnya adalah belajar menghargai dan ikhlas terhadap pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, di Threads, Azhan meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pelakon, khususnya bakat baharu yang hadir lewat ke lokasi penggambaran.

Dia menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati masa orang lain, lebih-lebih lagi apabila individu terbabit seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok