PELAKON Datin Intan Najuwa membuat laporan polis susulan gangguan yang diterima daripada seorang individu menerusi beberapa hantaran Threads semalam.
Bukan kali pertama, Intan, 29, berkata, individu itu mengganggunya sejak beberapa bulan lalu.
“Tidak perlu melayan orang gila dalam Threads.
Saya sudah buat laporan polis dan individu di sebalik akaun tersebut seorang lelaki.
“Dia sebelum ini pernah mengganggu saya beberapa bulan lalu,” katanya dalam platform Threads semalam.
Ujarnya, individu tersebut bukan hanya mengganggu secara online tetapi turut menghubungi kelab polo yang sering dikunjunginya sebelum ini.
Bukan saja dengan mencipta beberapa akaun media sosial palsu untuk ganggu saya, dia juga membuat panggilan ke sebuah kelab polo apabila tahu saya berada di situ.
“Perkara ini sudah berlaku hampir setiap hari.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk menyerahkan pihak berkuasa untuk mengendalikannya,” ujarnya.
Dia berkata demikian susulan muncul sebuah akaun Threads menggunakan namanya @intannajuwadatin namun hantaran yang dikongsi mengejutkan ramai iaitu mengutuk suami pelakon itu iaitu Datuk Asraf Azman. – HIBGLAM
