‘Saya bukan cerewet, mungkin belum ada rezeki’

KEMUNCULAN pelakon muda, Amelia Christie di arena hiburan tempatan sekitar 2020 membuka langkah jitu buat wanita berdarah campuran Melayu-Cina itu.

Bermula dengan drama rantaian 7 Hari Mencintaiku 2, pemilik nama lengkap Amelia Christie Lim itu tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus menjadi pilihan penerbit.

Malah, tiga tahun kemudian namanya semakin mekar selepas dikaitkan dengan aktor sensasi, Sharnaaz Ahmad yang kini dikatakan antara rakan baiknya dalam industri hiburan.

Rindu berlakon

Namun, ketika bakatnya semakin dihargai kaki drama, susuk gadis berusia 26 tahun itu tidak lagi terlihat menghiasi kaca televisyen berikutan kesibukan sebagai usahawan.

Berpeluang bersua muka, wanita lemah lembut itu menyatakan buat masa ini masih ingin berlakon, tetapi fokus diutamakan dulu terhadap perniagaannya.

“Lakonan memang cinta saya, cuma boleh dikatakan agak lama juga saya tak masuk set. Rasanya kali terakhir dua, tiga tahun lalu.

“Bukan tak nak lagi berlakon, banyak perkara perlu diberi perhatian kerana bisnes serum rambut saya masih baru bertatih. Perlu berkorban dulu buat masa sekarang.

“Jadi fokus untuk membangunkan produk serta memantapkan jenama perlu berterusan agar nanti tidak sekerat jalan. Walaupun rindu berlakon, hati kena kental,” katanya kepada HibGlam.

Begitupun, akui anak jati Kuala Lumpur itu, tiada masalah untuknya kembali ke lokasi penggambaran jika hanya membabitkan tempoh pendek serta bukan di luar kawasan.

Saya bukan cerewat atau selektif sebab ikutkan kalau komitmen tidak banyak, contoh untuk sehari, dua penggambaran saya okey saja.

“Watak kecil pun tidak mengapa kerana banyak lagi karakter yang mahu saya hidupkan. Saya suka mencabar diri terutama apabila membabitkan watak berat.

“Cuma mungkin belum rezeki. Ketika tawaran datang, saya pula sibuk dengan perniagaan. Mungkin waktu lain. Masanya akan tiba nanti,” katanya yang turut terbabit dengan promosi Ramadan Hotel Aloft KL Sentral.

Tidak sunyi

Menurutnya, pada bulan puasa ini dia berbesar hati apabila juadah kesukaannya, nasi kerabu dijadikan sushi dinamakan Nasi Kerabu Sushi.

“Dalam kesibukan menjalankan perniagaan ACL Glowy Hair Serum, saya tetap memenuhi undangan menjayakan majlis begini terutama sebagai rakan kolaborasi.

“Kiranya sepanjang Ramadan ini saya masih sibuk bekerja, namun sesekali tetap mencari masa untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga,” ujarnya.

Ditanya tentang teman istimewa, Amelia hanya tertawa, malah mengakui kehidupannya tidak sunyi tanpa kekasih apabila sentiasa diiringi mereka yang menyayanginya.

“Macam hari ini, ramai kawan saya sama-sama memeriahkan bufet Ramadan Selera Urban Sentral ft. Amelia Christie. Kiranya memang meriah di kelilingi mereka.

Soal teman istimewa juga bukan isu. Jodoh rahsia Allah, akan tiba pada waktu tepat. Buat masa sekarang, kita kerja dulu, kumpul duit untuk masa depan,” katanya menutup bicara. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok