Telan duit rasuah, tunggulah azab meniti titian sirat

FILEM Jembatan Shiratal Mustaqim merupakan satu karya horror keagamaan Indonesia yang berani mengangkat tema berat iaitu korupsi dana bantuan bencana.

Diarahkan sutradara Bounty Umbara, filem ini bintangi barisan pelakon Raihan Khan sebagai Arya, Imelda Therine (Laras), Agus Kuncoro (Malik), serta Mike Lucock mengisi watak sampingan.

Cerita bermula daripada bencana tsunami besar yang melanda sebuah kawasan pesisir, menyebabkan ramai mangsa dan kemusnahan meluas.

Ayah Arya, seorang pegawai tinggi yang terlibat dalam pengurusan bantuan kemanusiaan, meninggal dunia dalam kemalangan kereta selepas itu. Arya, seorang mahasiswa, mula mengalami penglihatan mengerikan tentang Jembatan Shiratal Mustaqim – jambatan nipis di akhirat yang menghubungkan syurga dan neraka.

Penglihatan ini bukan sekadar perihal ‘ghaib’ biasa, tetapi simbol balasan dosa, khususnya korupsi yang memakan hak rakyat.

Nasihat tajam

Filem ini cuba menggabungkan elemen horror supernatural dengan drama keluarga dan kritikan sosial yang tajam.

SELAIN mengangkat tema seram, filem ini juga diadun dengan elemen agama dan kekeluargaan.

Tema utama adalah nasihat moral: korupsi bukan sahaja dosa duniawi, tetapi juga membawa azab di Padang Mahsyar dan kesukaran melintasi titian As-Sirat.

Pendekatan ini membuatkan filem terasa berbeza daripada kebanyakan filem horror seberang yang lebih fokus pada arwah pendendam atau ‘setan’ tradisional.

Walaupun bergenre seram, elemen seramnya lebih kepada teror psikologi dan visual akhirat yang mencekam.

Adegan penglihatan Arya tentang orang jatuh ke neraka kerana dosa korupsi dirancang untuk memberi kesan kuat kepada penonton.

CGI untuk visual jambatan dan neraka diadun dengan usaha, walaupun ada berpendapat masih kasar dan kurang berseni. Itu antara sebab mengapa penulis rasa ‘potong stim’ menonton filem ini.

Lakonan Raihan Khan sebagai Arya cukup meyakinkan, terutama ketika karakternya bergelut dengan trauma dan obsesi terhadap kematian.

Imelda Therine sebagai ibu yang tegar menyiasat kebenaran di sebalik kematian suaminya memberikan sentuhan emosi yang mendalam.

Agus Kuncoro memainkan peranan ayah pemakan dana dengan baik, menunjukkan dua muka; fasih berdoa di luar, tetapi serakah di belakang.

Filem ini berjaya menyampaikan satira kepada mereka yang aktif terlibat dengan rasuah, terutama yang menyalahgunakan dana bantuan bencana.

Eduward Manalu melakonkan watak ‘pembunuh’ dalam filem seram Indonesia, Jembatan Shiratal Mustaqim.

Lantas mengingatkan penonton bahawa dosa memakan hak orang lain akan dibalas dengan pedih di akhirat. – HIBGLAM

Rasa terpaksa

Namun, ada kekurangan dalam alur cerita yang kadang terasa berulang dan agak memaksa.

Genre-bending antara horror, agama, dan drama tidak selalunya mulus, menyebabkan sesetengah bahagian terasa seperti drama berjela moral.

Naratif kadangkala terlalu sempit dan mudah diteka, dengan mesej yang terlalu langsung disampaikan.

Penulis secara peribadi memuji keberanian temanya, namun sebahagian jalan cerita ternyata terlalu preachy.

Kendatipun, filem ini relevan dengan isu korupsi yang masih hangat di Indonesia sekali gus boleh menjadi cermin kepada masyarakat tentang akibat keserakahan dan pentingnya keadilan sosial.

Secara keseluruhan, Jembatan Shiratal Mustaqim bukan horror hantu konvensional, tetapi lebih kepada seram moral dan spiritual.

Naskhah ini sesuai dilemparkan di depan muka para perasuah yang tidak cukup-cukup ‘menoreh’ dana secara haram demi kepentingan dunia yang bersifat sementara.

Kalau makan rasuah, nescaya jalan di titian sirat nanti memang akan berjuta-juta duri serta bengkoknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok