‘Saya ‘Asian mom’, suruh anak minum air Yasin’

PELAKON, Scha Alyahya mengakui pendekatannya dengan suami, Awal Ashaari dalam membesar dan mendidik dua anak mereka adalah berbeza tetapi bersyukur tetap saling melengkapi.

Menurut Scha, 43, caranya mendidik lebih kepada tegas yang sering dipraktikkan golongan ibu di negara-negara Asia berbanding Awal yang dianggap lebih tenang.

Cara Awal lebih ‘chill’ dan santai sementara saya pula ‘Asian mom’, cara didikan orang Asia, semua benda nak dilakukan.

“Bila ada perbezaan begitu, kita lihatlah cara didikan mana yang lebih sesuai.

“Namun, kadang-kadang bagus juga bila kita ada kelainan antara suami isteri dan didikan anak itu jadi lebih seimbang,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem 5 Bomoh baru-baru ini.

Dalam pada itu, dia mengakui hatinya bimbang dengan anak sulungnya, Lara Alana yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya tengah risau sebab Lara kan menduduki peperiksaan besar dan ambil serius perkara tersebut.

“Saya ada juga minta Awal tegur Lara supaya belajar supaya tidak nampak saya seorang yang tegas.

“Namun, saya bersyukur ada anak seperti Lara yang tidak mengeluh dan jalani sahaja rutinnya yang agak padat setiap hati. Saya kasihan dan risau dia penat tetapi nampak dia okey sahaja setakat ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia bagaimanapun tidak mengamalkan perkara syirik atau khurafat seperti bertemu dengan bomoh semata-mata untuk memastikan anaknya meraih keputusan cemerlang.

Tiada jumpa bomoh tetapi di rumah ada air Yasin sahaja, buat sendiri.

“Kalau anak-anak nakal, saya suruh mereka minum, itu cerita betul,” ujarnya.

Terbaharu, dia baru sahaja muncul dengan filem 5 Bomoh yang turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Ungku Hariz, Khairy Jamaluddin, Johan, Ozlynn, Datuk Amy Search dan Datuk Afdlin Shauki.

5 Bomoh arahan Syed Fariz ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok