Bimbang lukakan hati pasangan, Aina Abdul belum sedia bercinta 

BIMBANG tidak dapat memberikan perhatian kepada pasangan sekiranya bercinta berikutan terikat dengan jadual kerja yang padat  penyanyi popular, Aina Abdul lebih selesa menyendiri buat masa ini.

Jelas Aina itu lebih baik daripada dia melukakan hati pasangannya kelak.

“Susah sebenarnya untuk saya jawab soalan ini. Saya suka benda yang orang tak suka namun terbuka mengenali sesiapa sahaja untuk berkawan.

“Saya ini macam bawang, banyak lapisan.  Susah nak cari orang yang benar-benar faham diri saya, jadi saya tidak mahu jalin hubungan tanpa fokus betul-betul, nanti pasangan saya terluka,” katanya kepada HibGlam.

AINA pada majlis sidang media A Night With Aina Abdul, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. – FOTO MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Ditanya sama ada pelantun lagu Terus Hidup itu ada menaruh perasaan atau meminati mana-mana jejaka, Aina berkata sudah lumrah seorang wanita memiliki naluri sebegitu.

“Kalau sekadar suka, itu ada sebab sudah lumrah manusia suka tengok sesuatu yang indah di mata.

“Saya ada kenalan lelaki tetapi tidaklah rapat malah tidak menghalang diri berkawan kerana kebanyakan inspirasi lagu saya adalah berdasarkan pengalaman peribadi dan orang lain.

“Mahu menamatkan zaman bujang pun rasanya lambat lagi sebab jadual kerja saya pada ketika ini tidak mengizinkan,” katanya pada majlis Sidang Media A Night With Aina Abdul, hari ini.

Dalam perkembangan lain, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu bakal mengadakan konsert solo berskala mega iaitu A Night With Aina Abdul 3.0 yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 November. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok