‘Kemenangan ini batu loncatan saya, 89 peratus mungkin pindah KL’

MENDUDUKI tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi Ryenald Guntabid enggan menjadikan kejayaan tersebut sebagai kemuncak sementara dalam karier seninya sekali gus mengelak dilabel ‘one hit wonder’.

Ujar Ryenald atau nama sebenarnya Ryenald Cornellius Guntabid, 30, pencapaian di pentas berprestij itu menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus bekerja keras, selain berharap kerjasama bersama komposer serta pasukan pengurusan mampu menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.

“Sejujurnya, saya sangat mahu menjauhi konsep ‘one hit wonder’. Sebab itu saya sedang bekerja keras untuk menulis dan menghasilkan lebih banyak karya.

“Saya percaya seluruh pasukan juga akan memberikan usaha terbaik. Saya melakukan bahagian saya dan apabila semua pihak saling melengkapi, saya percaya tiada yang mustahil.

“Mungkin selepas ini akan ada Lumangad Oku Dika 2.0. Perkara itu sudah ada dalam perancangan, cuma untuk merealisasikannya memerlukan cerita lain,” katanya kepada HibGlam.

Ryenald tidak menafikan terfikir untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan kerjaya, susulan namanya semakin mendapat perhatian selepas tampil di pentas AJL40.

Bagaimanapun, dia mengakui keputusan berkenaan masih dalam pertimbangan kerana terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum membuat langkah besar berkenaan.

Saya masih belum dapat membayangkan untuk tinggal di Kuala Lumpur sepenuh masa. Namun, selepas ini mungkin sudah 89 peratus pasti.

“Baki peratusan itu bergantung kepada beberapa perkara serta urusan lain sebelum saya menentukan sama ada benar-benar berpindah ke sini atau tidak,” ujarnya.

Pada masa sama, Ryenald menegaskan keberadaannya di Sabah masih penting kerana mahu menjadi contoh kepada bakat muda di negeri tersebut, terutama mereka baru berjinak-jinak dalam dunia muzik.

“Sabah juga memerlukan seseorang untuk dijadikan contoh. Kita sudah ada Marsha dan Stacy, mereka sudah lama berada di sini dan kedua-duanya anak Sabah.

Saya rasa saya perlu lebih dekat dengan mereka di sana supaya golongan muda serta mereka baru mahu bermula dalam berkarya lebih terdorong apabila melihat saya masih berada di Sabah.

“Jadi, perkara itu memang sedang dalam pertimbangan. Saya mahu menjadi inspirasi kepada mereka,” jelasnya.

Mengulas pencapaian di AJL40, Ryenald menyifatkan kejayaan tersebut sebagai batu loncatan penting dalam perjalanan seninya, apatah lagi penampilannya di pentas berkenaan merupakan pengalaman sulung.

Kemenangan ini akan menjadi batu loncatan untuk kerjaya saya. Saya langsung tidak menjangka akan menang, jadi perasaan ketika itu sangat gembira dan bangga.

“Saya mahu gunakan kejayaan ini sebagai permulaan untuk pergi lebih jauh dalam muzik serta membuktikan masih banyak perkara mampu saya lakukan,” tuturnya.

Menerusi lagu Lumangad Oku Dika ciptaan sepenuhnya Ryenald, dia membawa pulang wang tunai RM30,000 selain trofi AJL40 pada kemuncak pertandingan berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok