Azam puasa penuh, Christy Ng teruja ke Bazar Ramadan

LEBIH bersedia, usahawan dan pempengaruh media sosial, Christy Ng mengakui tidak lagi mengambil remeh pemilihan menu ketika bersahur agar kekal bertenaga sehingga masuk waktu berbuka.

Kata wanita keturunan Tionghua itu, dia menanam azam untuk berpuasa penuh pada Ramadan kali ini selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu disebabkan faktor kurang nutrisi hingga kelesuan.

“Saya pernah cuba berpuasa sebelum ini tetapi agak mencabar sebab bersahur dengan hanya makan mi segera. Air pula kurang.

“Memang waktu itu tak tahu apa-apa, jadi sepanjang hari saya berasa sangat haus. Terus tubuh tak bermaya serta penat.

“Tahun ini saya cuba berpuasa penuh dengan mengutamakan hidangan sihat serta ambil air mencukupi. Harap berjaya,” katanya ketika ditemui selepas Gempak Most Wanted Awards (GMWA), baru-baru ini.

Penerima Anugerah Digital Creator (Hiburan) itu juga mendedahkan lebih peka terhadap pengambilan hidangan bernutrisi selepas menerima teguran rakannya.

“Sebenarnya kawan saya pun terkejut bila saya cakap cuma makan mi segera untuk sahur. Jadi dia bagi teguran supaya kita sendiri lebih peka,” ujarnya.

Pada masa sama, dia juga tidak sabar untuk merasai pengalaman berbuka bersama kakitangan syarikatnya yang sudah seperti ahli keluarga sendiri.

Malah, Christy sudah merancang untuk ke Bazar Ramadan dengan pasukannya, The Bengap Boys bagi mendapatkan juadah kegemaran masing-masing.

“Pantri di pejabat sudah ditambah stok makanan yang membolehkan mereka sahur atau berbuka di pejabat memandangkan jadual bertugas tidak tentu masa.

“Hos siaran langsung mula bekerja pukul 4 pagi, antara makanan yang saya sediakan adalah nasi lemak, nasi ayam, lamb chop, makanan ringan dan manisan termasuk aiskrim.

“Apa pun pastinya Ramadan kali ini menyeronokkan. Saya sendiri tak sabar nak ke Bazar Ramadan rasai suasana indah setahun sekali ini,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok