KEHILANGAN orang tersayang bukan hanya meninggalkan kekosongan, tetapi memadamkan sebahagian jiwa.
Bagi pelakon dan penyanyi Kilafairy, pemergian ibu tercinta, bukan sahaja menutup satu bab kehidupan, malah membuka ruang rindu tanpa penghujung.
Pun begitu, rindu itu tidak dibiar mati sebaliknya pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan itu memilih seni sebagai pelarian paling jujur dan bahasa hati, menyalurkan rindu melalui sebuah karya istimewa.
Dalam diam, dia sedang menyiapkan sebuah lagu tribute buat arwah ibunya, sebuah naskhah penuh emosi, sarat kenangan dan dibalut kasih seorang anak yang masih belajar menerima kehilangan.
Ibu tercinta, penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 20 Jun 2023.
Pemergian itu meninggalkan kesan mendalam, namun wanita berusia 33 tahun itu bangkit dengan satu tekad, memastikan suara ibunya terus hidup, walau dalam nada yang berbeza.
“Insya-Allah lagu ini untuk mama dan sedang dalam proses rakaman. Saya ambil sampel lagu lama mama, antara lagu popular beliau, kemudian digabungkan dalam trek baharu. Genre R&B, lagu saya sendiri tapi dengan jiwa mama.
Akan ada suara mama, ambil sedikit sebagai sampel. Bahagian korus kami susun bersama audio manager dan penerbit. Prosesnya memang indah, sangat bermakna,” katanya kepada HibGlam.

Lebih istimewa, lirik lagu tersebut ditulis sendiri bersama kakak tercinta bagi menyesuaikan lirik dengan melodi, menjadikan karya itu hasil kolaborasi adik-beradik demi seorang ibu.
“Kakak saya tulis lirik. Saya cuma betulkan sedikit perkataan supaya masuk ritma. Tapi keseluruhan lirik memang hasil tulisan dia. Lagu ini jadi sangat istimewa sebab dibuat bersama kakak, untuk mama. Projek ini besar maknanya dalam hidup saya.
Sekarang baru separuh jalan. Susah nak habiskan sebab setiap kali sampai satu verse, Saya akan tersekat. Nyanyi saja terus menangis. Bahagian sama, berkali-kali. Emosi memang terlalu kuat.
“Kami belum masuk studio rakaman sepenuhnya. Sekarang fasa jamming, cari melodi, cara nyanyian. Setiap kali nyanyi lirik, emosi datang. Saya selalu tersekat di bahagian sama,” jelasnya.
Tambah pelakon drama Tumpang Lalu Bang itu, lagu dirancang untuk dilancarkan selepas Aidilfitri, namun tidak secara tergesa-gesa kerana berpendapat karya terbabit perlu sampai kepada pendengar dalam keadaan paling jujur.
Mengulas makna di sebalik lagu tersebut, Kila sudah berdamai dengan takdir, namun masih menyesuaikan diri dengan kehilangan.
Malah, lagu tersebut menjadi pengubat kepada hasrat yang tidak kesampaian iaitu menghasilkan karya bersama ibu tercinta.
“Keseluruhan lagu berkisar tentang kehilangan mama dan bagaimana saya hadapinya sekarang. Rumah tanpa mama, sunyi tanpa suara dia. Ini lagu penceritaan. Saya harap ada orang boleh kaitkan dengan kisah sendiri.
Jujurnya saya tak rasa akan pernah benar-benar lepaskan. Reda itu ada, tapi nak biasakan hidup tanpa dia, itu takkan hilang, akan ada hari Kila jatuh teruk, kemudian bangkit semula. Itu proses.
“Kila buat lagu ini bukan untuk melepaskan. Cuma Kila tak sempat buat lagu dengan mama. Jadi Kila nak lagu ini ada suara dia. Itu sahaja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kilafairy kini terlibat dalam penggambaran supertele Flat Simpang Satu yang dijadualkan menemui penonton pada Aidilfitri nanti.
Naskhah tersebut turut dibintangi Fahrin Ahmad, Aiman Hakim Ridza, Nadiya Nissa dan Siti Elizad. – HIBGLAM
