Malaysia lokasi terakhir, CHEN bakal gegarkan KL Mac ini 

BERITA gembira buat peminat K-pop, penyanyi CHEN bakal singgah ke ibu kota bagi menjayakan siri jelajah solonya, Arcadia pada 29 Mac kelak.
Istimewanya, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi persinggahan terakhir bagi siri jelajah global selepas pemilik nama sebenar Kim Jong-dae, 34, menggegarkan pentas di Taipei, Yokohama, Jakarta, Manila dan Macau.
Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert satu malam tersebut direka khas untuk memberikan pengalaman langsung yang sarat dengan emosi serta visual sinematik yang memukau buat para peminat.
Peminat boleh menjangkakan gabungan balada ikonik CHEN, barisan lagu popular, serta lagu-lagu OST (runut bunyi) K-Drama yang menjadi siulan ramai seperti Beautiful Goodbye dan Best Luck.
Ketua Pegawai Operasi pasukan penganjur, Hans Kim menyifatkan kehadiran CHEN sebagai satu perjalanan emosi yang sangat jarang dapat dirasai dari jarak dekat.
Kami amat teruja untuk membawa jelajah Arcadia CHEN ke Kuala Lumpur. Ini sebuah konsert yang benar-benar menggabungkan seni, emosi dan produksi bertaraf dunia.
“Suara dan kehadiran pentas CHEN mengusik jutaan peminat di seluruh dunia dan persembahan ini adalah peluang untuk merasai hubungan itu secara langsung,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selain persembahan vokal bertaraf dunia, konsert ini turut menawarkan pengalaman yang sangat intim memandangkan kapasiti tempat duduk adalah terhad kepada 2,000 orang sahaja.
Lebih menarik, penganjur menawarkan manfaat Miracle Fan yang cukup eksklusif di mana semua peminat berpeluang melakukan sesi swafoto bersama ahli kumpulan EXO itu serta menerima kad foto khas.
Tiket konsert sudah pun mula dijual sejak 23 Disember lalu dan sehingga kini, sebanyak 50 peratus tiket dilaporkan habis terjual.
Peminat boleh melayari laman sesawang Ticket2U untuk membeli tiket dengan harga bermula Rm398 sehingga RM798. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok