‘Baju ‘sold out’ bukan propa, tak percaya datang tengok sendiri’

JENAMA pakaian dan tekstil terkenal, Jakel menafikan dakwaan kononnya mereka sengaja memasang strategi ‘marketing sold out ‘ untuk beberapa rekaan koleksi kolaborasi bersama selebriti, Nur Fazura.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran dan Promosi Jakel Trading Sdn Bhd, Muzaffar Jakel koleksi yang diberi nama Fazura X Jakel itu sangat laris dan dikeluarkan dalam stok terhad.

“Kami di Jakel sangat gembira dengan kolaborasi bersama Fazura kerana impaknya sangat besar untuk tahun 2026. Setakat ini tiga daripada 30 rekaan yang kita sudah lancarkan habis dijual.

“Paling banyak adalah 7,000 helai untuk satu rekaan. Selalunya jumlah minimum untuk setiap rekaan di sini adalah 15,000 pasang kerana kami mempunyai 9 juta pelanggan dan dijangka kesemua 51 rekaan koleksi Fazura X Jakel akan habis dijual menjelang minggu pertama Ramadan.

“Bagi mereka yang tidak percaya kami minta mereka datang sendiri ke setiap cawangan kamj dan lihat sendiri sama ada situasi ini benar ataupun tidak. Datang sebagai pelanggan, bukan sekadar membuat andaian semata-mata,” katanya ketika ditemui di sesi ‘meet and greet’ bersama wajah Jakel 2026, di sini, hari ini.

Muzafar juga turut menepis dakwaan netizen tentang isu rekaan lama yang dikatakan dikitar semula untuk dijadikan koleksi Fazura X Jakel.

“Saya mahu berkongsi di sini bahawa Fazura bekerjasama dengan 70 pereka di Jakel untuk menghasilkan koleksi ini.

“Pada asalnya kami hanya mahu mengeluarkan 10 rekaan sahaja. Tetapi selepas melalui banyak proses perbincangan maka terhasil 51 rekaan.

“Kesemua rekaan ini adalah rekaan terbaru. Sebab itu kita tidak lancarkan kesemua 51 rekaan sekali gus. Kita keluarkan mengikut peringkat.

“Lagipun ada rekaan membabitkan proses agak rumit dan memerlukan waktu yang panjang,” jelasnya.

Sementara itu Fazura memanjatkan rasa syukur kerana kolaborasi pertamanya bersama jenama terbabit mendapat sambutan hangat pembeli.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Semua ini adalah aturan Allah. Kami reka koleksi ini dengan sangat teliti dan banyak proses dilalui demi memberikan yang terbaik buat pembeli. Setakat ini ramai suka dan berpuas hati,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok