Mia Sara enggan komen, tunggu masa sesuai

PELAKON, Mia Sara Nasuha memilih untuk tidak memberi sebarang ulasan berhubung pelbagai dakwaan yang dilemparkan pelakon seangkatannya, Puteri Balqis.

Mewakili pihak pengurusan Mia Sara, Xeno Entertainment memaklumkan bahawa pihaknya sedang menantikan waktu yang lebih tepat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab segala isu berbangkit.

“Sebenarnya kami memutuskan untuk tidak mahu komen apa-apa buat masa sekarang.

“Tidak pasti ke tahap mana isu ini akan pergi dan mengeluarkan komen pun tidak membantu.

“Sekiranya sampai masa yang tepat, serta selepas mempertimbangkan bentuk tindakan perlu diambil, barulah kami akan jelaskan berkenaan isu terbabit,” kata jurucakap syarikat berkenaan.

Sejak semalam, media sosial panas sebaik Puteri Balqis ‘menempelak’ Mia Sara agar menyelesaikan isu antara mereka dengan dua pilihan selepas wanita berusia 21 tahun itu didakwa turut pernah memalukan ibunya.

Dalam masa sama, Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish, menyifatkan tindakan Mia Sara yang mengalirkan air mata di hadapan pihak media baru-baru ini hanyalah sekadar usaha untuk meraih simpati khalayak.

Tidak terhenti di situ, Aqish turut membangkitkan semula pengalaman pahit menjadi mangsa buli yang didakwa dilakukan Mia Sara ketika mereka memulakan kerjaya dalam industri seni.

Malah, dia turut mendakwa wujud perbezaan ketara keperibadian sebenar Mia Sara dengan imej murni yang dipaparkan menerusi media sosial. – HIBGLAM

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok