Mek Habsah meninggal dunia

PELAKON, penyanyi dan pelawak era 1980-an, Mek Habsah meninggal dunia akibat penyakit paru-paru kronik, pukul 2.45 pagi tadi.

Allahyarham Mek Habsah atau nama sebenarnya Habshah Bakar, 67, menghembuskan nafas terakhir di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur.

Berita pilu itu disahkan cucu Allahyarham, Huraimi Hilman, 26, yang memaklumkan kesihatan neneknya merosot sejak 12 Julai dan semakin teruk tiga hari lalu.

“Pada 12 Julai lalu arwah ke hospital bagi menjalani sesi rawatan rutin tetapi doktor maklumkan kondisi paru-parunya bertambah lemah yang membuatkan nenek ditahan untuk rawatan.

“Keadaannya ketika itu macam biasa, malah masih larat berbual dan membalas mesej Whatsapp, namun masih menggunakan bantuan oksigen sepanjang masa untuk bernafas.

“Sebelum ini pun sudah bertahun-tahun nenek bergantung kepada tabung oksigen untuk ke mana-mana, selain aktif menghadiri kelas agama.

“Tahap kesihatannya kemudian semakin merosot sejak beberapa hari lalu hinggalah semalam doktor panggil semua ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut Huraimi lagi, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham yang dianggap sebagai tulang belakang serta peniup semangat keluarga terutama cucu-cucunya.

“Arwah suka anak cucu berkumpul beramai-ramai. Selalu dia berpesan kepada saya yang juga cucu lelaki sulung supaya pastikan ikatan kami terus rapat.

“Nenek seorang yang sangat penyayang tetapi tegas. Istimewanya dari cucu pertama, sampai dah dikurniakan 10 cucu, arwah ada lagu khas buat kami yang direka sendiri.

“Pemergian nenek satu kehilangan besar dan kami pastikan terus menjaga datuk,” katanya yang turut memaklumkan dua cucu lain tinggal bersama nenek serta datuk mereka itu.

Arwah meninggalkan suami yang juga pesara polis, Rahamis Hamid, dua anak dan 10 cucu.

Urusan solat jenazah berlangsung di Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis 1 Cheras pada pukul 10 pagi ini, manakala pengebumian akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih Fasa 2, Kuala Lumpur, pukul 2.30 petang.

Selain membintangi filem dan deretan drama, Mek Habsah pernah muncul dengan album bersiri Asam Pedas bersama Allahyarham Datuk Yahya Sulong dan Allahyarham Maidin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok