‘Sudah ada beberapa projek, saya mahu menetap di Malaysia’

PENYANYI yang juga peserta Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Iskandar Ismail, 47, mengakui sedia berhijrah ke Malaysia untuk membina kerjaya di sini.

Menurut Iskandar, memang menjadi impiannya sejak sekian lama untuk mengembangkan karier nyanyian di Malaysia seperti artis Singapura yang lain.

Kalau ada peluang memang saya nak berhijrah ke sini. Saya akan mengambil langkah perlahan-lahan. Sudah ada beberapa projek, insya-Allah saya akan ulang-alik.

“Saya memang sudah bersedia untuk tinggalkan Singapura. Saya ingin masuk pasaran muzik Malaysia.

“Saya pun dah kenal artis-artis di sini, mereka memberikan kata-kata semangat yang cukup hebat. Jadi kalau ada peluang keemasan saya akan ambil,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Iskandar lagi, dia juga sudah bersedia untuk membawa keluarganya menetap di Malaysia sekiranya satu hari nanti berpeluang bekerja tetap di sini.

Ditanya adakah dia sudah bersedia berdepan komen netizen yang mungkin kurang senang dengan perancangan berhijrah ke Malaysia, kata Iskandar dia percaya dengan rezeki Allah.

Saya tak kisah. Bagi saya rezeki Allah yang tentukan. Tak kisahlah di Malaysia, Singapura, Indonesia atau Brunei, kita semua cakap bahasa Melayu.

“Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra juga berada di Malaysia. Kalau ada rezeki saya di Malaysia, saya akan bekerja kuat,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, finalis GV12 itu akan berentap merebut gelaran juara Ahad ini. Dia bakal menyampaikan dua lagu iaitu Madah Berhelah dan Senja Nan Merah duet bersama Jaclyn Victor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok