Bersalin November, isteri Azmi Saat suka tidur atas lantai

PENYANYI Azmi Saat yang berkongsi berita bakal menimang cahaya mata pada November depan mengakui isterinya, Nazira Muhammad mempunyai tabiat pelik sepanjang kehamilan.

Katanya, Nazira kini tampak lebih selesa tidur di lantai sahaja bagi membolehkannya tidur nyenyak sekaligus mendapat kualiti rehat yang mencukupi.

“Keadaan isteri saya sebenarnya masih dalam fasa mengalami alahan apabila masih loya dari trimester terawal sampai sekarang, berbeza dengan kehamilan dulu.

“Dari segi mengidam pula biasa-biasa saja, cuma dia ada tabiat yang jadikannya lebih selesa tidur di atas lantai saja berbanding katil.

“Kerap dia terjaga apabila tidur di katil, tapi selepas beralih ke lantai memang dapat lena. Tidak mengapalah, asal dia dan kandungan baik-baik saja,” katanya.

Pada masa sama, anggota Caliph Buskers yang mendedahkan bakal menimang bayi perempuan, bersyukur dikurniakan rezeki lagi selepas diduga kehilangan anak pertama mereka sekitar dua tahun lalu.

Katanya, rezeki tersebut juga adalah berkat doa serta sokongan ramai yang tidak putus-putus menitipkan semangat sepanjang berdepan dugaan.

Inilah nikmat kesabaran. Kami dikurniakan rezeki mendapat anugerah kedua selepas pemergian putera sulung, Allahyarham Khairul Afnan pada 2021.

“Sokongan ramai yang sentiasa memberikan kata-kata semangat serta mendoakan kesejahteraan keluarga kami sememangnya memberi kekuatan.

“Kami sebenarnya tak mahu teruja sangat, ikut pesanan orang tua. Apa pun persiapan sederhana saja, manakala nama pula sudah kami senaraikan,” kongsinya.

Azmi, 36, dan Nazira yang juga orang upaya kelainan (OKU) penglihatan mendirikan rumah tangga pada 2011 menanti kehadiran permata hati dalam tempoh yang agak lama iaitu hampir 10 tahun.

Namun anak sulung mereka itu menghembuskan nafas terakhir pada 30 September 2021selepas tiga hari dilahirkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok