‘Apa yang berakhir tidak semestinya buruk, kadangkala untuk kebaikan’

PEMPENGARUH sensasi, Ameera Khan menyifatkan 2025 sebagai fasa penuh pengajaran, namun tetap bersyukur semuanya berakhir dengan tenang tanpa sebarang drama.

Ujar Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 26, apa dilaluinya pengalaman sangat berharga termasuk termasuk perpisahan dan penamat beberapa episod kehidupan yang perlu diterima dengan reda.

“Tahun lalu sebenarnya sangat baik buat saya. Saya bersyukur dengan semua insan yang hadir dan juga bab-bab kehidupan yang berakhir secara senyap.

Ada kalanya sesuatu perkara berakhir bukan bermaksud semua itu buruk. Kadangkala, penamat itu berlaku demi kebaikan. Alhamdulillah, itulah yang terjadi dalam hidup saya,” katanya dalam Instagram Story.

Adik kepada selebriti Neelofa itu turut menitipkan permintaan agar semua pihak menghormati ruang peribadinya, khususnya melibatkan individu yang pernah hadir dalam hidupnya sebelum ini.

“Kepada semua yang menghubungi saya, saya tahu niat kalian datang dengan penuh kasih. Saya hargai itu.

Namun, apa yang saya minta hanyalah rasa hormat, sama seperti hormat yang saya berikan kepada mereka yang pernah ada, yang sudah tiada dan yang masih kekal hari ini.

“Tiada siapa patut dipersalahkan, tiada pihak perlu dituding jari, tiada cerita untuk dijadikan bahan. Itu paling penting,” ujarnya

Paling penting kata Ameera, apa yang terlihat dalam media sosial hanyalah serpihan kecil daripada realiti sebenar hidupnya, manakala perjalanan sebenar hanya difahami dirinya dan insan terdekat.

Apa yang orang lihat cuma serpihan kecil daripada realiti hidup saya. Hanya orang terdekat tahu apa yang saya lalui, dan hanya saya tahu sejauh mana kekuatan diperlukan untuk terus melangkah.

“Sama seperti anda, hanya diri sendiri tahu apa yang pernah dilalui dan bagaimana rasanya.

“Saya berdoa semoga 2026 menjadi tahun terbaik buat kita semua. Selamat tahun baharu,” luahnya.

Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan kata-kata sokongan, selain mendoakan agar Ameera terus kuat, bahagia dan dipermudahkan urusan hidup pada masa akan datang.

Namun tidak kurang juga mengaitkan luahan tersebut dengan spekulasi hubungan cintanya dengan pelakon Indonesia, Jefri Nichol yang didakwa sudah berakhir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok