‘Sudah mengislamkan sembilan mualaf, nikmatnya luar biasa’

“USAHA yang saya lakukan ini adalah untuk kumpul pahala dan mengejar saham akhirat.”

Demikian respons pelakon dan penyanyi Diana Rafar mengenai usahanya yang sudah mengislamkan sembilan mualaf sejak 2022.

Menurut Diana, usaha itu memberi kepuasan luar biasa selain membawa banyak perubahan positif dalam hidupnya.

“Sejak dulu saya memang ada niat dan terfikir bagaimana nak Islamkan orang, sekurang-kurangnya nak lakukan sekali seumur hidup.

“Kemudian dengan izin Allah, muncul seorang wanita Mongolia dan kami ucap dua kalimah syahadah di rumah saya.

“Selepas itu saya jadi tamak sebab banyak perubahan positif berlaku dalam kehidupan seperti lebih terjaga daripada melakukan perkara tak baik dan semakin malu dengan diri sendiri kalau nak buat benda yang dilarang.

“Sejak itu, tanpa sedar saya sudah mengislamkan sembilan mualaf bermula pada 2022 sehingga 2026. Seakan-akan satu keajaiban yang Allah beri,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Tambah Diana, menarik lebih ramai individu memeluk Islam memberi satu kepuasan yang tidak dapat dimiliki di tempat lain.

“Perkara lain saya nak kejar selepas mengislamkan saudara baharu adalah beri salam pertama dan ajar sebut Bismillah atau sepotong ayat al-Quran, rasa puas serta nikmatnya luar biasa.

“Sebenarnya usaha Ini sangat kecil sehingga ramai tertanya-tanya bagaimana saya boleh mengislamkan ramai orang, apa amalan saya.

“Tak sangka dengan cara sebarkan perkara ini dalam media sosial dapat menarik lebih ramai yang mahu masuk Islam, Alhamdulillah,” ujarnya.

Ujar Diana lagi, perkara paling membuatkan dirinya sebak ialah melihat setiap mualaf memulakan lembaran hidup baharu seperti dilahirkan semula tanpa sebarang dosa.

“Mereka macam baru dilahirkan tanpa dosa, aura positif dan rasa ketenangan itu memang wujud terutama selepas mengucapkan syahadah dengan mereka. Seperti ada malaikat mengiringi.

“Saya juga memerhatikan ramai orang bukan beragama Islam, kadang-kadang secara perlahan-lahan ‘cucuk daun’ dengan kongsi keindahan agama sendiri dan tanya ‘tak nak masuk Islam ke’, itu pendekatan saya.

“Sekarang ini rasa hidup tak lengkap kalau tidak mengislamkan orang dan memang saya mencari saudara baharu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia berkata, suaminya yang juga aktor, Zamarul Hisham juga turut melakukan hal sama dan pernah mengislamkan dua individu sebelum ini.

“Suami memang bagi sokongan penuh dan dia pun sudah Islamkan seorang warganegara Afrika dan Cina.

“Kami berdua sekarang ini aktif dalam meneruskan usaha ini sekarang,” kongsinya.

Ketika ini, Diana menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Hidayah Centre Foundation yang membantu menguruskan tentang dokumen seperti pertukaran agama dalam kad pengenalan dan urusan berkaitan.

Sejak semalam, tular beberapa video Diana mengislamkan seorang mualaf di sebuah masjid.

Perkongsian tersebut meraih pujian dan menyentuh hati netizen kerana mampu membantu menarik lebih ramai individu memeluk Islam. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok