MENCARI ketenangan, aktor Que Haidar mengakui selesa menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang jauh dari hiruk-pikuk kota.
Selain itu kata Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, dia memilih untuk menetap di Kuala Pilah bersama kakak dan abangnya kerana lebih dekat untuk ke kilang sambal yang diusahakan ketika ini.
Saya pilih Kuala Pilah sebab ketenangan. Pada awalnya hanya nak tinggal selama empat hingga enam bulan sahaja tetapi lama-kelamaan rasa suka.
“Saya macam seronok dengar bunyi burung setiap pagi dan udara juga bagus.
“Sebenarnya saya juga ada kilang sambal di Melaka. Jadi, nak ke KL satu jam setengah dan ke Melaka juga tempoh yang sama, senang duduk tengah-tengah,” katanya kepada HibGlam di set penggambaran drama Pak Su Ammara, semalam.
Dalam masa sama, dia mengakui sudah beberapa bulan tidak berpeluang pulang ke rumah di Kuala Pilah kerana kekangan masa dan jadual kerja yang padat di ibu negara.
“Sekarang macam rindu rumah, katil saya dan rasa sudah lebih tiga bulan tak cuti, setiap hari saya kerja.
Kalau cuti, di sini pun saya ada benda lain kena buat seperti latihan aksi, lakonan, penggambaran tetapi bukan saya mengeluh, Alhamdulillah masih banyak rezeki.
“Cuma saya macam fikir bila boleh balik ke rumah sendiri. Kalau dapat satu atau dua malam tidur di bilik saya pun dah okey dan sangat gembira,” katanya lagi.
Ditanya sama ada mempunyai perancangan untuk berpindah ke ibu negara, Que berkata, dia masih belum memikirkan perkara tersebut sebaliknya mempunyai perancangan untuk membina rumah baharu di kampung halaman di Kulai, Johor.
Sebenarnya saya nak buat rumah di Johor juga dan sekarang sedang berjalan projek kolam ikan dan nak buat rumah kecil untuk ‘healing’, mahu bela ayam dan itik juga.
“Jadi, kawasan kolam itu akan jadi tempat sangat tenang dan boleh luang masa untuk melukis, bawa anak-anak balik kampung, lari daripada bandar,” ujarnya.
Menerusi drama Pak Su Ammara yang bakal bersiaran bermula 5 Januari depan di Astro Ria, Que turut digandingkan dengan Ummi Nazeera, Mia Nasir, Syazwan Zulkifly dan Hanna Aqeela. – HIBGLAM
