‘2026 kita cipta bahagia, tak terlambat untuk mula semula’

PELAKON Uqasha Senrose berharap kehidupannya bertambah baik dan dipermudahkan segala urusan sepanjang 2026.

Menurut pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, itu, 2026 akan menjadi permulaan baharu kehidupannya selepas melalui pelbagai pengalaman manis dan dugaan dua tahun kebelakangan ini.

“Assalamualaikum 2026. Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua, jangan toleh belakang.

Anggaplah apa yang terjadi sebagai kenangan yang mengajar kita erti sebenar kehidupan.

“Terima kasih untuk semuanya terutama pada 2024 dan 2025. Pahit, manis, sedih dan marah, satu rasa untuk menjadi orang yang lebih kuat,” katanya dalam platform Threads.

Dalam pada itu, dia juga mahu mahu mencipta lebih banyak memori manis bersama puteri tunggal kesayangannya, Hawra Uqaira.

“Untuk Uqaira, mari kita mulakan perjalanan bersama.

Tahun 2026, muka surat kosong, kita cipta bahagia, tak terlambat untuk bermula semula,” ujarnya.

Terdahulu, nama Uqasha mula menjadi bualan ramai dalam media sosial selepas memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.

Permohonan cerai berkenaan dibuat Uqasha pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok