PELAKON Trisha Ooi menyifatkan Uqasha Senrose sebagai individu yang profesional di set penggambaran meski pun kini berdepan kemelut rumah tangga dengan suaminya, Kamal Adli.
Menurut Trisha atau nama penuhnya, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, bukan sahaja mudah bekerjasama, Uqasha juga tidak pernah membuka cerita peribadi di lokasi penggambaran.
“Bagi saya, dia sangat profesional apabila melibatkan kerja. Saya tak pernah tanya apatah lagi campur tangan dalam kehidupan peribadinya.
“Sepanjang bekerja dengannya, semua berjalan lancar, tiada sebarang masalah pun.
“Kalau ada cerita tentang rumah tangganya, biarlah dia sendiri yang kongsi, saya tak mahu komen sebab bukan posisi saya untuk cakap apa-apa,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.
Ditanya sama ada dia mengetahui isu rumah tangga yang dilalui rakan seperjuangannya itu, Trisha berkata dia tidak pernah ambil tahu kisah dalam kain orang lain terutama hal peribadi.
“Fokus saya hanya kerja, pergi set penggambaran kemudian pulang ke rumah bila selesai.
“Setakat yang saya kenal, Uqasha juga seorang wanita lembut. Dakwaan atau sikapnya di luar set, bukan urusan saya dan enggan masuk campur.
“Saya memang kalau boleh tak mahu komen apa-apa tentang isu artis lain, bukan urusan saya,” jelasnya.
Terdahulu, Trisha dan Uqasha bergandingan dalam sebuah drama berjudul Jika Cinta Itu Buta di Astro Prima yang turut dibintangi Shah Jaszle dan Keith Foo. – HIBGLAM
