PENYANYI Indonesia Sammy Simorangkir tidak dapat menahan diri daripada menikmati keenakan durian tempatan saat menjejakkan kaki di Kuala Lumpur kelmarin.
Kehadiran Sammy di Kuala Lumpur adalah untuk persembahan konsert solo pertamanya di sini yang berlangsung semalam.
Menurut Sammy atau nama sebenarnya Hendra Samuel Simorangkir, 43, dia sangat menggemari durian dari Malaysia yang disifatkan antara durian terbaik di dunia.
“Durian Malaysia sangat best. Tak ada di mana-mana. Saya suka durian musang king, udang merah dan black thorn. Saya mahu cuba semuanya,” katanya ketika ditemui usai konsert Sammy Simorangkir Live In KL, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Sammy juga meluahkan rasa teruja kerana ini kali pertama dia membuat persembahan secara solo di Malaysia. Kali terakhir dia membuat persembahan di sini adalah bersama kumpulan Krispatih pada tahun 2023.
“Sebenarnya dulu saya takut-takut untuk menjadi penyanyi solo kerana ramai yang sudah terbiasa saya ialah penyanyi berkumpulan.
“Tetapi lama kelamaan saya semakin diterima ramai. Saya bersyukur kerana masih ada ramai peminat yang ingin mendengar suara saya,” jelasnya.
Ditanya adakah dia mempunyai sebarang masalah jika mahu menyanyikan lagu-lagu ketika dia bersama Krispatih, kata Sammy dulu sempat terjadi masalah, tetapi kini tidak lagi.
Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Sammy menyampaikan rangkaian lagu popularnya seperti Sedang Apa Dan Di Mana, Tapi Bukan Aku, Bila Rasa Ku Ini Rasamu, Kaulah Segalanya dan Mengenangmu.
Konsert yang dianjurkan oleh Ideatelier itu turut menampilkan penyanyi undangan juga dari Indonesia iaitu Meiska Adinda yang bertindak sebagai penyanyi pembuka acara. – HIBGLAM
