‘Tiada ungkapan awak betul nak kahwin dengan saya’

APABILA wanita dengan julukan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira mengumumkan akan menamatkan zaman solonya dengan usahawan yang dikenali sebagai Ezwan zaini, ramai tumpang bahagia.

Tempoh 11 tahun hidup sebagai ibu tunggal selepas perkahwinan keduanya bersama Engku Emran terlerai, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, selesa hidupnya ditemani satu-satunya anak perempuannya iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.

Dalam tempoh 11 tahun itu, dia juga tidak sepi dikaitkan dengan beberapa lelaki. Ada yang bergelar selebriti popular dan ada juga yang berprofil tinggi.

Namun ternyata kehadiran Ezwan Zaini, 44, seorang bapa tunggal yang memiliki anak perempuan hampir sebaya dengan Engku Aleesya berjaya membuka jendela hati Erra.

SEBELAS tahun bergelar ibu tunggal, Erra kini bersedia untuk kembali menjawat peranan sebagai isteri.

Lebih manis, keputusan Erra untuk kembali membina mahligai cinta turut direstui anaknya.

Menurut Erra, dia serta bakal suami mencapai kata sepakat untuk mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada momen lamaran yang berlaku memandangkan ini bukanlah perkahwinan pertama kedua-dua mereka.

“Saya rasa kerana kami sudah matang, tiada lamaran rasmi sangat. Bila berbincang tanpa tindakan, itu cuma angan-angan.

Tetapi bila ada tindakan, saya nampak keseriusan. Jadi ia mengalir begitu saja. Tidak ada ungkapan seperti, ‘awak betul nak kahwin dengan saya?’.

“Sebelum Aidilfitri itu fasa ‘berangan’. Selepas itu, dia beraya di kampung saya. Keluarga pun okey. Saya memang mahu ‘lampu hijau’. Bila semua okey, barulah kami serius,” katanya.

Menyingkap semula kisah cinta pasangan ini, HibGlam antara yang terawal melaporkan tentang bibit-bibit perkenalan mereka apabila Erra memuat naik ucapan hari lahir buat Ezwan tetapi gambar tersebut digelapkan.

‘Selamat hari lahir buat kamu yang mendamaikan’, sepotong ucapan yang membongkar kisah perkenalan Erra dan jejaka misteri yang dikenali sebagai Mr. E ketika tu.

Selepas beberapa bulan Erra juga dilihat lebih terbuka apabila menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri bersama Ezwan di kafe miliknya yang terletak di Petaling Jaya.

Erra juga seringkali berkata, dia tidak pernah menutup pintu hatinya terhadap lelaki biarpun rumah tangga yang dibinanya pernah roboh dua kali kerana dia yakin, lelaki dan perempuan dicipta sebagai pasangan dan dia juga mendambakan teman bicara untuk menemaninya hingga ke akhir hayat.

SERASI bersama, Ezwan berjaya mengetuk pintu hati Erra untuk menerimanya sebagai temsn hidup.

Sebagaimana bahagianya Erra pada saat melangkah menuju ke gerbang perkahwinan buat kali ketiga, begitu juga dengan sahabat handai yang turut berkongsi rasa yang sama.

Antara selebriti popular yang dilihat meluahkan rasa gembira melihat sahabat mereka bakal bertemu jodoh ialah Amelina, Didie Alias dan Salina Saibi.

Masing-masing membuat hantaran dalam Instagram mendoakan kebahagiaan Erra.

Alhamdulillah, tahniah sahabatku, bakal pengantin baharu dan bakal isteri. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan awak dunia akhirat. Jangan lupa kita tau. Nampaknya kemungkinan besar saya tercalon untuk jadi presiden mengetuai ahli-ahli lama dan baharu,” tulis Amelina.

Memilih tarikh 12 Disember untuk disatukan, Erra dan Ezwan juga bakal menganjurkan majlis resepsi untuk sahabat handai dan teman media.

Seperti lagu Cinta Abadi yang kembali dilancarkan Erra untuk versi 2025, semoga cinta Erra dan Ezwan juga kekal abadi buat selamanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok