BEKAS isteri penyanyi Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah menegaskan tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang selebriti sebaliknya mahu kekal dengan kariernya sebagai doktor gigi.
Menurut Afifah, dia hanya mahu menjadi seorang pakar perubatan yang bersifat lebih santai selain mengakui kebergantungan kehidupan zaman sekarang adalah terhadap dunia media sosial.
“Saya nak jadi doktor gigi yang ‘chill’ dan ‘cool’ saja.
Tak kisahlah awak cikgu, doktor atau doktor gigi sekali pun, dunia sekarang sudah berubah, banyak bergantung dengan media sosial,” katanya dalam platform Threads.
Dalam pada itu, dia memaklumkan tidak pernah mengejar glamor apatah lagi menjadi anak seni yang terlibat dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.
“Saya bukan nak jadi pelakon atau penyanyi.
Saya tahu siapa diri saya dan hanya nikmati laluan hidup ketika ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Afifah berkata dia tidak menolak kemungkinan menceburi bidang seni jika menerima tawaran yang sesuai.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 2 November lalu mengesahkan Nubhan bercerai kali kedua dengan Afifah.
Nubhan dan Afifah berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; serta Afzan Nayille, 3. – HIBGLAM.
