‘Masih diganggu, terima mesej ugutan, lucah, nak mengurat’

NIAT bukan untuk viral tetapi mempertahankan diri”.

Demikian ulas anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr. Fitri Haris yang menegaskan tujuannya berkongsi pengalaman pernah diganggu lelaki bergelar ustaz dan kenamaan bukanlah mahu menimbulkan sensasi.

Menurut Fitri atau nama sebenarnya, Mohamad Fitri Mohamad Haris, 41, langkah tersebut diambil untuk mempertahankan diri selain sebagai satu bentuk kesedaran agar lebih ramai mangsa gangguan seumpama itu tampil bersuara.

Apa yang saya harapkan orang yang ganggu saya itu tidak lagi berbuat demikian kerana kami bercakap seperti biasa cuma kadang-kadang mesej diberikan agak keterlaluan.

“Bagi saya tidak salah perkongsian itu kerana sekadar satu kesedaran kepada masyarakat bagi orang cakna dan untuk lebih ramai mangsa bersuara,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Countdown KITA 2026 yang diadakan di Studio 1, Astro Bukit Jalil malam tadi.

Namun apa yang lebih mengejutkan selepas perkongsian itu dibuat, Fitri masih menerima gangguan sehingga kini.

“Mereka memang berani, walaupun telah mendedahkan apa yang berlaku saya masih lagi diganggu.

Saya menerima mesej berbentuk amaran, ugutan, mencarut, mesej lucah dan ada yang nak mengurat saya,” ujarnya yang menerima mesej berkenaan di aplikasi WhatsApp nombor perniagaannya.

Dalam pada itu, Fitri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis andai gangguan yang diterima masih berterusan.

Selagi dia tidak sampai ke tahap sentuhan fizikal, saya rasa perkongsian dibuat itu sebagai satu amaran jugalah tetapi kalau berlaku lagi sudah tentu akan buat laporan polis atas kesalahan gangguan seksual.

“Saya amat berharap dengan kes baru-baru ini Allah menjentik hatinya untuk berubah,” jelasnya yang enggan mendedahkan identiti individu terlibat.

Terdahulu, Fitri mencetus sensasi apabila mendedahkan pernah diganggu golongan gay susulan isu penahanan 201 pengunjung dalam serbuan ke atas sebuah spa di Jalan Raja Laut baru-baru ini.

Berdasarkan gangguan yang diterima Fitri tidak terkejut apabila ada golongan profesional dan berjawatan tinggi terlibat dalam salah laku moral berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok