“SAYA tidak pernah kata saya sudah berhenti berlakon atau mahu teruskan berlakon, segalanya terbuka dan ikut keadaan serta situasi.”
Demikian penjelasan pelakon Elfira Loy selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni, namun terbuka untuk menerima sebarang naskhah yang sesuai dengan jadual hariannya.
Elfira, atau nama penuhnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, berkata, keputusan kurang aktif dalam bidang lakonan bukan kerana mahu bersara, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas di rumah.
“Dikatakan tinggalkan dunia seni, saya tidak beri kata putus. Kerana lakonan ini adalah sesuatu yang boleh sahaja dilakukan bila-bila masa, kalau saya mahu saya boleh teruskan.
Saya tidak pernah memilih naskhah sejak dahulu kerana saya percaya semua naskhah adalah terbaik. Malah tugas pelakon untuk menaikkan ‘rating’ cerita tersebut.
“Cumanya setiap kali ada tawaran berlakon, ada percanggahan dengan jadual harian. Sekarang ini segala tugas di rumah sepenuhnya dilakukan oleh saya, mungkin nanti bila anak-anak sudah besar, insya-Allah aktif semula.
Pada masa sama, pelakon drama Di Sebalik Kasyaf itu mengakui timbul rasa rindu terhadap dunia lakonan yang diceburinya sejak kecil.
Sudah pasti ada rasa rindu untuk berlakon kerana kerjaya itu saya mula daripada kecil tetapi rasa bahagia membina keluarga kecil saya lebih bermakna daripada karier yang saya telah bina.
“Sehingga kini saya masih terima tawaran berlakon, tetapi dalam masa dapat tawaran main pickleball, jadi saya lebih memilih bermain pickleball daripada berlakon,” ujarnya lagi.
Dia juga seronok menikmati fasa sebagai suri rumah sepenuh masa.
“Saya sudah 10 tahun dalam industri, jadi apa salahnya saya berehat sekejap dan memberi fokus kepada keluarga serta menjaga anak-anak.
Alhamdulillah, anak-anak lebih selesa bila saya yang jaga dan masak untuk mereka berbanding pembantu sebelum ini,” tuturnya.
Sebelum ini, Elfira mendedahkan pembabitannya dalam dunia lakonan bukan kerana minat sebaliknya mahu membantu ibunya menambah pendapatan.
Aktif dalam lakonan sejak 2006, Elfira kini memberi tumpuan kepada keluarga selepas mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairul Anuar pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Rayyan Khalaf, 6, dan Nur Aria Mikayla, 4. – HIBGLAM
