Abang didakwa edar dadah, Aditya Zoni harap ada berita baik

PELAKON Indonesia, Aditya Zoni memaklumkan abangnya iaitu Ammar Zoni yang kini menjalani hukuman penjara berada dalam keadaan baik.

Aditya atau nama lengkapnya Muhammad Aditya Warman, 25, tidak mengetahui tempoh sebenar tahanan abangnya memandangkan pelakon itu menjalani hukuman penjara di Pulau Nusakambangan.

Alhamdulillah Abang Ammar sihat saja. Doakanlah semoga ada berita baik buatnya.

“Saya pun sudah lama tidak bertemu dengannya, kali terakhir sekitar dua bulan lalu sebelum dia dipindahkan (ke penjara berbeza),” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis tayangan filem Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai di TGV One Utama, semalam.

Menurut pelakon filem Zerre: Pendekar Ufuk Timur itu, dia akan tetap memberi sokongan kepada abang sulungnya walaupun didakwa melakukan kesalahan mengedar dadah.

“Kami selalu menyokong Ammar dan walau apa terjadi, kita harus saling menyokong saudara kita sendiri.

Selalu saya katakan kepada media di Indonesia, apabila kita terbabit dalam menggunakan bahan terlarang seperti itu, di negara mana pun, kita perlu menjalani rehabilitasi.

“Jadi kesalahan menggunakannya juga perlu dihukum atau dipenjarakan. Salah tetap salah dan perlu juga diubati,” katanya lagi.

Malah, Aditya memaklumkan penahanan abangnya tidak memberi kesan terhadap diri dan juga kerjayanya.

Walau sudah banyak sekali yang berlaku dalam keluarga saya, alhamdulillah kami semua adik-beradik lelaki tetap semangat untuk terus bangkit,” ujarnya.

Sebelum ini media Indonesia melaporkan bahawa pelakon Ammar Zoni sudah tiga kali didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Terbaharu, Ammar Zoni sekali lagi dilaporkan berurusan dengan bahan terlarang tersebut dan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menjual dadah ketika berada dalam tahanan.

Ammar kini sedang menjalani hukuman penjara di Pulau Nusakambangan yang merupakan pusat tahanan yang dikawal ketat kerana melibatkan kes berisiko tinggi.

Dia dipindahkan ke penjara berkenaan pada awal Oktober lalu selepas didakwa melakukan kesalahan mengedar dadah ketika berada di Pusat Tahanan Kelas 1 Jakarta Pusat.

Difahamkan, pemilik nama lengkap Muhammad Ammar Akbar, 32, itu boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen undang-undang narkotik negera berkenaan yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya 20 tahun penjara sekiranya disabitkan kesalahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok