AIFFA2025 nobat Wu Kang-ren Pelakon Lelaki Terbaik, Tenement filem Terbaik

NASKHAH seram adaptasi novel dari Kemboja, Tenement berjaya diangkat sebagai Filem Terbaik di ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) yang berlangsung di sini, hari ini.

Kemenangan tersebut sekali gus melenyapkan impian naskhah dari Malaysia iaitu Abang Adik dan lima lagi filem iaitu Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam), Some Nights I Feel Like Walking (Filipina), The Gospel of the Beast (Filipina), Crocodile Tears (Indonesia) dan Home Sweet Loan (Indonesia) untuk membawa pulang trofi kategori tersebut.

Manakala, kategori Pengarah Terbaik pula menjadi milik Pham Thien An iaitu sutradara Vietnam menerusi filem Inside the Yellow Cocoon Shell.

Aktres, Sweet Qismina pula mengharumkan nama negara apabila memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan hebat dalam filem Babah.

Pelakon utama filem Abang Adik iaitu Wu Kang-ren pula membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, bagaimanapun dia tidak hadir ke AIFFA malam ini.

Pada acara sama, aktor popular Hong Kong, Simon Yam turut menerima penghargaan menerusi Anugerah Inspirasi ASEAN yang sebelum ini pernah dibawa pulang penyanyi serta pelakon Korea Selatan, Bi Rain pada AIFFA2023.

Anugerah sama turut diterima pengarah dan pengkritik filem dari Filipina, Lav Diaz.

Kategori Anugerah Khas Juri pertama pula diberikan kepada filem Tegkang arahan Josh Nawan yang mengangkat keunikan budaya dan kehidupan masyarakat suku kaum Kelabut di Sarawak.

Bagi anugerah kedua diberikan kepada filem Waiters dari Brunei.

AIFFA2025 dihoskan oleh Tony Eusoff dan acara dimeriahkan dengan beberapa persembahan penyanyi ternama seperti Ruth Sahanaya, Datuk M. Nasir, Mimi Fly dan Vince Chong.

Kesemua 200 penyertaan disaring barisan juri terdiri dari beberapa negara diketuai oleh sutradara tersohor U-Wei Saari, Herman Van Eykeni (Belgium), Mohanad Hayal (Iraq), Nik Amir Mustapha (Malaysia) dan Embi C Noer (Indonesia).

Tahun ini, AIFFA berjaya menarik sebanyak 200 penyertaan daripada penggiat filem dari negara-negara Asia termasuk Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina. – KOSMO! ONLINE

Senarai pemenang AIFFA2025:

Filem Terbaik: Tenement (Kemboja)

Pengarah Terbaik: Pham Thien An – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)

Lakon Layar Terbaik: The Gospel of the Beast (Filipina)

Suntingan Filem Terbaik: Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)

Sinematografi Terbaik: Some Nights I Feel Like Walking (Filipina)

Pelakon Wanita Terbaik: Yunita Siregar – Home Sweet Loan (Indonesia)

Pelakon Lelaki Terbaik: Wu Kang-ren – Abang Adik (Malaysia)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Sweet Qismina – Babah (Malaysia)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ronnie Lazaro – The Gospel of the Beast (Filipina)

Anugerah Khas Juri:
1. Tegkang (Malaysia)
2. Waiters (Brunei)

Anugerah Inspirasi ASEAN: Simon Yam

Spirit Award: Mbutik (Indonesia)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok