‘Saya tak halang Nubhan jumpa anak, dia bapa yang baik’

“SAYA tak nak jauhkan anak-anak dengan sesiapa tak kira Nubhan, datuk nenek atau keluarga dia.”

Demikian pendirian isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah yang tetap akan mengekalkan hubungan baik anak dan bapa mereka.

Menurut pemilik nama lengkap Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, anak-anak kini berada di bawah jagaannya, namun dia sama sekali tidak menghalang Nubhan berjumpa mereka.

“Saya akan cuba cakap abah sibuk, ada persembahan dan tunjuk abah mereka dalam televisyen.

Dia pun banyak keluar buat siaran langsung. Jadi anak-anak banyak bersama saya. Kalau Nubhan ada masa terluang, saya tak halang dia jumpa anak supaya tiada rasa kehilangan di situ.

“Nubhan seorang bapa yang baik, saya tak nak jauhkan dia dan anak. Saya seorang ibu, kita dah mengandung, melahirkan dan menyusukam. Ada ke ibu tak rapat dengan anak?,” katanya kepada HibGlam pada majlis pembukaan rasmi butik JeMels Atelier, hari ini.

Tambahnya, dia akan menjelaskan situasi rumah tangga mereka kepada anak-anak pada waktu yang sesuai.

Saya ada cakap dengan Nubhan supaya kita terangkan bersama-sama tentang situasi tapi apa-apa pun kita tunggu dulu kes mahkamah pada 2 Disember nanti.

“Tengok keputusannya dan nanti baru kita bincang macam mana,” ujarnya.

Pada masa sama, Afifah yang lebih dikenali sebagai Dr. Fie itu sentiasa berusaha tampil tenang di hadapan anak-anak.

“Saya mesti nak kena nampak bahagia dan tenang sebab ada anak-anak.

Anak-anak nak tengok saya bukan seorang ibu yang lemah dan tak boleh terima. Kalau saya kuat, pasti mereka jadi macam saya.

“Sebagai seorang ibu, naluri kita mesti nak yang terbaik untuk anak-anak. Kita fikir mereka dulu,” jelasnya.

Dia turut meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi individu positif yang banyak membantunya bangkit meneruskan kehidupan.

Alhamdulillah, sekarang saya dapat banyak geng usrah yang baik. Allah temukan dengan orang yang baik untuk saya ‘move on’ dan perbaiki diri.

“Banyaknya anak-anak dengan saya tapi Nubhan ada failkan hadanah penuh di mahkamah. Dalam surat kata hak interim kepada saya,” jelasnya lagi.

Terdahulu, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi, Nubhan ke atas Dr. Fie.

Sementara itu, Pada 5 November lalu Nubhan memfailkan hadanah atau hak penjagaan anak tiga zuriat mereka iaitu Aafiyah, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.

Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam menetapkan 26 November ini untuk sebutan kedua merekod persetujuan hasil perbincangan plaintif dan defendan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok