SELEPAS berjaya dengan filem Lembayung tahun lalu, Baim Wong kembali dengan naskhah seram baharu berjudul Sukma.
Mula menggegarkan pawagam seluruh negara pada 30 Oktober lalu, Sukma hadir membawa nuansa seram berbeza.
Berkisarkan tentang kewujudan cermin misteri yang dipercayai boleh memenuhi hasrat pemiliknya untuk kekal hidup abadi dengan melakukan beberapa ritual.
Kisah bermula dengan watak Arini lakonan Luna Maya dan keluarganya berpindah ke sebuah pekan kecil untuk memulakan hidup baharu bertukar menjadi mimpi ngeri.
Dia bahkan dihantui seorang wanita tua di dalam cermin yang berhasrat menukarkan tubuhnya dengan Arini agar menjadi muda semula.
Klise
Selalunya, penonton filem seram pasti dibelenggu dengan persoalan dalam fikiran tentang bila hantu akan muncul, muzik seram dan siapa yang akan terselamat pada penghujung cerita.

CHRISTINE HAKIM membawakan watak Ibu Sri yang sanggup melakukan apa sahaja demi tampil muda.
Namun semua itu tidak diketengahkan Baim dalam Sukma sekali gus menjadikan naskhah itu berbeza dengan Lembayung yang banyak bermain dengan imej hantu dan jembalang menakutkan.
Mempertaruhkan elemen seram menerusi cermin dan pertukaran jiwa, Sukma bawa mesej mendalam tentang obsesi manusia terhadap kecantikan dan keinginan untuk menolak takdir demi kepuasan diri.
Mungkin bukan idea baharu tetapi Baim berusaha membuang skeptikal penonton terhadap filem seram Indonesia.
Di sebalik simbolik cermin tersebut, Baim secara halus mengkritik budaya manusia moden yang terlalu terikat pada rupa paras dan kesempurnaan sehingga sanggup melakukan amalan syirik.
Sukma (roh wanita tua) mewakili kerakusan dan ketamakan sehingga tergamak menukar jasad demi memiliki kecantikan abadi.
Menggandingkan Luna dan Christine Hakim dalam satu layar bukan satu perkara mudah serta percubaan berani untuk sutradara baharu.
Komitmen lakonan
Tak perlu bercerita tentang lakonan semua pelakon papan atas dalam naskhah serama ini.
Luna dan Christine seperti biasa tidak pernah gagal meninggalkan impak besar naratif menerusi watak mereka.
Namun, tetap ada yang berpendapat watak Ibu Sri lakonan Christine seakan terbatas dan tidak sepenuh jiwa.
Sementara pemilihan Anna Jobling sebagai Sari wajar dikalungkan pujian menggunung.

Melakukan semua babak aksi sendiri termasuk diseret atas tanah dan kepala dihentak pada kaca, Anna ternyata membuktikan dia layak berdiri sebaris bintang ternama seberang dalam Sukma.
Filem yang skripnya ditulis Ratih Kumala yang juga penulis drama Gadis Kretek turut dibintangi Fedi Nuril, Oka Antara, Krishna Keitaro, Kimberly Ryder dan Asri Welas.
Secara keseluruhan, Sukma sebuah karya seram yang memberikan pengalaman memuaskan untuk tontonan hiburan.
Apa yang boleh penulis simpulkan, ini bukan naskhah seram terbaik tetapi masih layak untuk ditonton
Alur ceritanya sederhana, mudah difahami dan ‘plot twist’ yang disajikan juga mudah dijangka. Jadi, Sukma bukan naskhah yang jalan ceritanya berlebih-lebihan.
Sukma Pengarah: Baim Wong Pelakon: Luna Maya, Christine Hakim, Anna Jobling, Fedi Nuril, Oka Antara Tayangan: 30 Oktober 2025 Sumber: Tiger Wong Entertainment Bintang: ⅗
