NUBHAN tak maklum sudah ceraikan saya kepada keluarga, malah ayah akui mereka lama tak berhubung.”
Demikian respons isteri penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek bagi menjawab dakwaan suaminya sudah berbincang dengan orang tuanya berhubung kemelut rumah tangga mereka.
Afifah mesra disapa Dr. Fie berkata, isu perkahwinan mereka kini sudah di bawa ke mahkamah seperti yang dinginkan Nubhan dan sewajarnya hanya perlu dijawab di hadapan hakim sahaja.
“Saya tetap hormati dia. Sebenarnya saya tak perlu balas apa-apa tetapi apabila nama ayah saya disebut-sebut, saya kena beritahu perkara sebenar.
Walaupun ayah saya tak campur urusan rumah tangga kami, hal besar seperti ini (perceraian) kena maklumkan kepadanya. Memang dia tidak beritahu walaupun selepas talak dilafazkan mahupun ketika nak naik mahkamah.
“Makcik saya yang maklumkan perkara ini di grup WhatsSpp famili, barulah ayah dan ibu saya tahu. Mereka terkejut,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Dr. Fie juga hairan apabila suaminya mendakwa sudah berjumpa pakar kaunseling bagi menyelamatkan perkahwinan mereka sekali gus bertahan 10 tahun demi anak-anak.
Seingat saya kami tidak berjumpa dengan mana-mana pakar kaunseling rumah tangga, namun ada bertemu seorang ustaz yang juga kenalannya. Tidak mengapalah, kalau dia cakap begitu.
“Sepanjang perkahwinan saya jalankan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak sebaik mungkin. Saya juga mencari pendapatan tambahan agar tidak dikata terlalu bergantung kepada suami,” ujarnya.
Pada masa sama, Dr. Fie mengakui hubungan dengan ibu mentua iaitu Mak Jenny baik-baik sahaja malah dia sendiri berjumpa wanita terbabit sehari sebelum ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu.
Hal antara kami berdua tidak melibatkan keluarga. Macam saya cakap, saya tak tahu kesalahan besar yang saya sudah lakukan.
“Peguam saya pun cuma membalas surat tawaran perceraian dihantar Nubhan pada Jun lalu secara rasmi selepas dia juga melantik peguam,” katanya.
Isu rumah tangga Nubhan dan Dr. Fie meraih perhatian umum selepas alumni Akademi Fantasia Enam (AF6) itu memfailkan permohonan pengesahan lafaz talak terhadap isteri.
Dikenali sebagai pasangan romantis, perkara itu mengejutkan ramai apatah lagi sebelum prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu, peguam Dr. Fie mendedahkan anak guamnya pernah diceraikan pada 2017 namun rujuk dalam idah.
Turut menolak kehadiran orang ketiga, Nubhan dalam kenyataan kepada media mendakwa sudah memaklumkan bapa mentua permasalahan dihadapinya dengan isteri.
Bahkan katanya, wanita itu juga mengetahui punca dia berbuat demikian sehingga lafaz cerai berlaku iaitu ketika mereka berada dalam kereta pada 26 Ogos lalu. – HIBGLAM
