DALAM heboh kisah rumah tangga rakan seindustri, pelakon Raja Ilya menyuarakan pandangan jujur tentang makna sebuah perkahwinan yang baginya bukan semata-mata kisah cinta manis, tetapi medan ujian dua jiwa untuk saling belajar, memahami dan bertahan.
Ujar Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 40, setiap perkahwinan ada ujian tersendiri, malah kadangkala perceraian juga menjadi jalan terbaik buat mereka yang sudah hilang daya.
Perceraian itu satu pilihan. Kadang-kadang pengakhiran juga satu jawapan, terutama bagi mereka yang terluka secara fizikal atau mental.
“Tapi kalau memilih untuk terus bertahan, kena tahu fasa selepas anak pertama bukan mudah,” katanya dalam Instagram.
Tambah pelakon KL Vampires itu, ramai pasangan terperangkap dengan jangkaan terlalu tinggi hingga terlupa bahawa kebahagiaan sejati tidak boleh digantung pada manusia semata-mata.
“Wanita sering berharap suami memahami, membantu dan peka terhadap keperluan mereka. Tapi bila semua harapan disandarkan pada seorang manusia, akhirnya kita juga yang kecewa.
Lelaki dan wanita itu berbeza. Cara fikir, cara sayang, bahkan cara meluah penat juga tidak sama. Jadi salah faham, rasa tidak dihargai, semua itu lumrah.
“Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tapi kekuatan untuk terus berdiri walau kasih terasa goyah,” ujarnya.
Katanya lagi, pengalaman membesar dalam keluarga berpecah membuatkan dia lebih menghargai erti keutuhan sesebuah institusi keluarga.
“Saya datang daripada keluarga berantakan. Anak-anak perlukan kedua-dua ibu bapa di bawah satu bumbung selama mana hubungan itu masih boleh diperbaiki.
Jiwa, emosi dan masa depan mereka dibentuk daripada apa yang mereka lihat di rumah.
“Kalau boleh bertolak ansur, tahan ego dan pilih kasih sayang berbanding siapa betul atau salah, lakukanlah demi mereka,” luahnya.
Paling penting kata ibu dua anak itu, tiada siapa benar atau salah dalam sebuah rumah tangga kerana kedua-duanya berjuang dalam bentuk berbeza.
“Wanita bertarung dengan keletihan dan emosi. Lelaki pula menanggung peranan sebagai pelindung dan ketua keluarga. Tiada manusia sempurna.
Apa yang membuatkan sesebuah perkahwinan kekal bukan kesempurnaan, tetapi kejujuran, usaha, dan saling mengingatkan tentang tujuan asal iaitu Tuhan, keluarga dan kasih sayang. Dari situ kita akan temui jalan pulang.
“Apa yang saya belajar, kalau bergaduh sampai menjerit sekalipun, sebelum tidur mesti salah seorang ketepikan ego dan ucap ‘maaf’. Dari situ, kita belajar untuk terus membina, bukan menghancurkan,” tuturnya.
Untuk rekod, Ilya mendirikan rumah tangga dengan Trent Garret pada 2018 dan menetap di Australia kerana mengikut suaminya yang merupakan warganegara sana.
Hasil perkahwinan tersebut mereka kini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 1.
Semalam, dunia hiburan kembali kecoh apabila pelakon Uqasha Senrose hadir ke prosiding pertama kes perceraian dengan Kamal Adli di Mahkamah Syariah namun terpaksa ditangguhkan ke 28 Oktober depan selepas aktor itu tidak hadir.
Menurut peguam syarie mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd. Manaf, pelakon wanita itu memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan difahamkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu. – HIBGLAM