SEHEBAT manapun seseorang artis di atas pentas, tubuh dan jiwanya sebagai insan biasa tetap punya batasannya.
Begitu juga dengan nasib penyanyi cilik Amad yang merupakan anak kepada Siti Saerah yang tiba-tiba rebah dan pengsan semasa dan sebaik menamatkan persembahan terakhirnya di pentas Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) hujung minggu lalu.
Mencetuskan banyak spekulasi, namun ada pertandingan, kegagalan melakukan persembahan sewajarnya mengakibatkan Amad mendapat tempat keenam dalam program berkenaan.

AMAD pitam usai persembahan Konsert Grand Finale Talk To My Manager.
Lebih dramatik, ada yang mengaitkan situasi tersebut dengan amalan ilmu hitam, santau atau gangguan mistik.
Minggu ini, Gala mengutip beberapa insiden hampir serupa yang pernah berlaku dalam industri, di tanah air mahupun di luar negara.
Marinella
PENYANYI Greek, Marinella pengsan di atas pentas pada September 2024 ketika membuat persembahan Odeon Of Herodes Atticus di Athens selepas diserang strok.
Pemilik nama sebenar Kyriaki Papadopoulou segera dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) selama 21 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa bagi menjalani rawatan susulan.
Selepas tempoh pemulihan selama empat bulan, dia akhirnya dibenarkan keluar dari hospital pada Januari 2025.
Namun, penyanyi berusia 87 tahun itu masih dalam keadaan lemah dan belum mampu berkomunikasi dengan rakan serta kenalan sejak dibenarkan keluar dari hospital. Sehingga kini, Marinella masih dalam proses pemulihan.
Lola Young
PENYANYI muda, Lola Young melalui detik cemas apabila tiba-tiba pengsan sewaktu membuat persembahan dalam All Things Go Music Festival, New York pada 27 September lalu.
Ketika itu, Lola atau Lola Emily Mary Young sedang mendendangkan lagu Conceited di Forest Hills Stadium sebelum rebah.
Selepas kejadian, penyanyi British itu menenangkan peminat melalui Instagram, memaklumkan bahawa dia kini berehat daripada semua persembahan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan diri.
Pengurusnya memaklumkan bahawa kejadian tersebut ada kaitan dengan masalah kesihatan fizikal dan mentalnya yang sedang dihadapinya.
Pelantun lagu Messy itu sebelum ini pernah membatalkan persembahan lain dan terbuka mengenai perjuangannya melawan gangguan skizoafektif.
Ayie (Floor 88)
KETIKA kumpulan Floor 88 menghiburkan peminat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Januari 2020, suasana bertukar panik apabila vokalisnya, Ayie, tiba-tiba rebah di atas pentas.
Menurut Ayie atau nama penuhnya Nik Fadlee Elhamshah, kepalanya sakit dan suaranya agak serak sebelum membuat persembahan, namun tetap mahu meneruskan nyanyian.
Menerusi Instagram, Floor88 memohon maaf kepada pengunjung yang hadir kerana tidak dapat meneruskan persembahan mereka.
Baby Shima
PENYANYI lain yang pernah berhadapan situasi sama seperti Amad adalah Baby Shima.
Kejadian berlaku semasa beraksi di pentas program realiti Big Stage 2018 dipercayai akibat kepenatan melampau.
Sebelum berhadapan detik cemas tersebut, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu baru sahaja menempuh perjalanan sejauh 14 jam dari Jakarta ke Sumedang, Indonesia.
Shima yang menyanyikan lagu Ku Tak Ingin Bersuara nyanyian asal Nike Ardilla itu kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam.
Malah, doktor berkata, kesihatan wanita itu terjejas disebabkan kekurangan gula dalam badan.
Mamat Sepah
MENGEJUTKAN ramai, pelawak Mamat Sepak tiba-tiba pengsan ketika muncul di pentas minggu pertama program Mega Spontan 2023.
Pemilik nama lengkap Mohd. Noor Murah itu sendiri tidak pasti apa berlaku sehingga hilang fokus dan tak boleh mendengar ketika berada di atas pentas.
Bagaimanapun, dia menafikan gementar punca dia pengsan sebaliknya berasa tidak sedap badan sebelum program berlangsung.
Disebabkan insiden tersebut, tiga ahli kumpulannya iaitu Adlin Aman Ramli, Joey Daud dan Sanja Suri terpaksa meneruskan persembahan tanpa Mamat.
Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan perubatan memaklumkan tekanan darah dan tahap kesihatan pelawak berusia 39 tahun itu berada dalam keadaan baik. – HIBGLAM