Dia mahu saman anak saya RM2 juta – Aaron Aziz

PELAKON Datuk Aaron Aziz terkejut apabila menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh media sosial, Sharina Richie yang didakwa bakal memfailkan saman berjumlah RM2 juta terhadap anak perempuannya, Dwi Ariana.

Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, dia kecewa dengan tindakan tersebut kerana menegaskan Dwi Ariana tidak sepatutnya terlibat dalam masalah antaranya dengan Sharina sehingga perlu disaman.

“Semalam saya terima satu LOD yang mengejutkan iaitu pihak Sharina mahu menyaman anak saya sebanyak RM2 juta.

Apa salah anak saya, sebelum ini dia hanya minta penjelasan mengapa video dimuat naik pihak sana tentang saya masih belum dipadam.

“Itu sahaja dan bukan satu jenayah, bahkan anak saya tidak maki atau kutuk. Semua kenyataan dia ada dalam LOD ini,” katanya.

Dia turut menegaskan akan terus mempertahankan keluarganya dan melindungi Dwi Ariana daripada menjadi mangsa  kemelut tersebut.

Sebenarnya saya dan isteri (Datin Diyana Halik) tak mahu maklumkan kepada Dwi Ariana sebab bimbang akan ganggu emosinya terutama sekarang sedang menempuh musim peperiksaan.

“Namun, apabila pihak sana muat naik video dan sebut nama anak saya, memang tiada pilihan. Saya perlu tampil dan pertahankan dia,” ujarnya dalam laporan portal Mstar hari ini.

Dalam masa sama, dia tidak menolak kemelut tersebut akan berlarutan sehingga ke mahkamah kelak.

Kalau Sharina tak failkan saman terhadap anak saya, mungkin boleh maafkan tetapi sekarang dia pilih jalan ini, ruang untuk berbaik itu sudah tiada.

“Kerjaya saya terjejas disebabkan isu ini. Dua anak saya yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara turut hadapi tekanan. Jika berlaku sesuatu pada mereka, siapa yang nak bertanggungjawab?” katanya lagi.

Terdahulu, konflik antara keluarga Aaron dan Sharina bermula selepas tular sebuah video yang mendakwa aktor tersebut berkongsi pendapat berkaitan isu Gaza, Palestin dalam kalangan selebriti.

Rentetan itu, Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin tanpa mengetahui video tersebut hanyalah potongan daripada video lain sekali gus mencetuskan salah faham dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, Sharina tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron dan mendakwa dirinya terus menjadi mangsa kecaman meski sudah memadam video tersebut.

Dia juga turut membuat laporan polis selepas mendakwa menerima pelbagai bentuk ancaman terhadap dirinya akan mengambil tindakan undang-undang berhubung situasi tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok