PELAKON popular Mimi Lana meluahkan hasrat untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin sekiranya genjatan senjata yang baru diumumkan betul-betul menjadi.
Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, dia mahu turut serta jika terdapat mana-mana organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mahu menjalankan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin.
“Kalau betul la genjatan senjata kali ni betul-betul menjadi, saya nak sangat jejak kaki ke bumi Palestini.
Sesiapa yang nak buat misi bantuan ke sana ataupun ada NGO yang akan pergi, tolong beritahu saya,” tulisnya dalam Threads.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen yang mencadangkan beberapa NGO yang boleh disertainya.
Malah ada yang mencadangkan supaya pelakon filem Mencari Ramlee itu sertai Farah Lee yang baru sahaja pulang daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Netizen turut kagum dengan keberanian isteri kepada Syafiq Kyle itu dan terharu dengan semangatnya mahu membantu rakyat Palestin.
Bangga dengan Mimi kerana menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai seorang selebriti. Semoga ada jalan untuk Mimi ke bumi Palestin,” komen netizen.
Terdahulu Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan damai 20 perkara yang dirangka oleh presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Fasa tersebut merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan, pengunduran tentera Israel dari kawasan padat penduduk dan kemasukan bantuan kemanusiaan berskala besar.
Trump turut menyatakan keyakinan bahawa keamanan boleh dicapai jika semua pihak mematuhi terma perjanjian. – HIBGLAM